Carian
SpaceX, OpenAI, dan Anduril Menubuhkan Konsortium Untuk Mendapatkan Kontrak Pertahanan
December 23, 2024 Effi Saharudin

Palantir, Anduril, SpaceX dan OpenAI akan menubuhkan sebuah konsortium khusus untuk menerima kontrak pertahanan Amerika Syarikat menurut laporan The Financial Times. Turut terlibat ialah firma Saronic yang menghasilkan kapal swalayar dan Scale AI sebuah syarikat data kecerdasan buatan (AI). Konsortium ini dijangka akan diumumkan pada bulan Januari depan.

Konsortium ini akan bekerjasama untuk menjadi kontraktor pertahanan generasi baharu yang bersaing dengan syarikat legasi ternama Boeing, Lockheed dan Northrop Grumman. Medan perang akan datang akan memerlukan sistem senjata lebih pintar serta peningkatan penggunaan dron yang mengurangkan risiko ke atas pengendali manusia.

Dron kamikaze Anduril

Sekiranya konsortium ini menjadi kenyataan, ia menimbulkan persoalan mengenai konflik peribadi Elon Musk yang kini mengetuai Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE). Sejak dilantik Musk telah menghantar puluhan ciapan yang mengkritik penggunaan pesawat perang seperti F-35 yang menurut pendapat beliau membazir kerana tidak lagi difikirkan memenuhi keperluan Amerika Syarikat. Adakah beliau akan menggunakan kuasa untuk menguntungkan syarikat sendiri?

Anduril sudahpun bekerjasama dengan Microsoft untuk membangunkan sistem rangkaian dan sensor pintar yang dipadankan dengan set kepala IVAS. Mereka juga sudah membangunkan dron kamikaze dan dron penangkis dron tersendiri kesemuanya dengan AI terbina. Sementara itu SpaceX pula akan membangunkan roket membawa kargo berasaskan Starship untuk kegunaan Pentagon.

Komen