Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial. Ia dibangunkan untuk menyediakan satu garis panduan yang sistematik kepada penyedia perkhidmatan berkaitan dalam penyediaan persekitaran internet yang selamat, terutamanya kepada kanak-kanak dan golongan lain yang berisiko tinggi terdedah kepada kandungan memudaratkan.
Ia juga susulan daripada Laporan Rundingan Awam yang diterbitkan pada 18 Disember lalu. Maklum balas daripada pihak awam telah bantu memastikan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) mampu menangani cabaran yang sentiasa berkembang dalam persekitaran dalam talian sambil mewujudkan Pemerhatian turut akan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pengoperasian lesen ini dapat kekal relevan dengan peredaran zaman dan keperluan masa.
Terdapat beberapa kod etika yang harus dipatuhi oleh penyedia perkhidmatan dalam memastikan keselamatan pengguna, dan hal ini boleh dilaksanakan dengan pelbagai cara. Antaranya seperti mewujudkan sistem dan mekanisme penilaian risiko yang boleh digunakan untuk menentukan kandungan berbahaya. Pemantauan sistem secara berkala juga penting untuk memastikan kawalan yang berkesan. Selain itu, pasukan terlibat perlu dilengkapi dengan latihan dan sokongan yang membolehkan mereka memahami nuansa, konteks dan sensitiviti masyarakat Malaysia. Mereka turut bertanggungjawab memberikan tindak balas yang cepat dan berkesan dalam semua situasi.
Perkara lain yang turut diberi perhatian termasuk penyedia perkhidmatan perlu memastikan terdapat langkah disiplin terhadap pengguna yang menerbitkan kandungan yang melanggar undang-undang tempatan. Tindakan ini meliputi amaran, teguran, sekatan, penggantungan atau penamatan akaun seseorang pengguna. Penyedia perkhidmatan juga diwajibkan menyerahkan laporan pertengahan tahun kepada MCMC diantara tarikh 1 Januari – 30 Jun dan 1 Julai – 31 Disember yang merangkumi penilaian risiko berserta penerangan tentang langkah-langkah yang diambil untuk meningkatkan keselamatan dalam talian pada platform masing-masing.
Pihak berkaitan turut dipertanggungjawabkan untuk menerbitkan laporan awam tahunan tentang amalan keselamatan secara menyeluruh bagi memastikan pengalaman internet yang lebih selamat untuk semua pengguna di Malaysia, terutamanya kanak-kanak dan golongan yang terdedah kepada bahaya. Selain itu turut memastikan platform masing-masing boleh diakses oleh pengguna orang kurang upaya (OKU) dengan mematuhi piawaian antarabangsa.
Semua penyedia perkhidmatan dan pesanan Internet perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) mulai 1 Januari 2025. Ia melibatkan kriteria yang mempunyai sekurang-kurangnya 8 juta pengguna di Malaysia. Antara platform-platform yang telah dikenal pasti setakat ini adalah WhatsApp, Facebook, Instagram, X, YouTube, Telegram, WeChat, dan TikTok.
- Bacaan Penuh – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)