Apabila membaca semula tajuk memang boleh menimbulkan beberapa perkara terlintas di fikiran pembaca. Contohnya pembaca mungkin tertanya-tanya apakah inovasi yang Huawei bawa melalui Mate X6 yang menjadikan ia relevan kembali di pasaran global. Selain itu mereka mungkin membandingkan ia dengan telefon pintar lain yang ada di pasaran di mana mencari tahu adakah telefon ini menawarkan nilai tambah yang unik? Untuk tahu lebih lanjut mengenai produk ini dalam konteks yang lebih luas dan mendalam teruskan membaca artikel ini.
Huawei Mate X6 | |
---|---|
Skrin | Luar – 6.43-inci LTPO OLED, 120Hz, 1800 nits Dalam – 7.93-inci LTPO OLED, 120Hz, 2,500 nits |
Pemproses | Kirin 9020 |
Cip | 1 x 2.5 GHz Taishan Big 3 x 2.15 GHz Taishan Mid 4 x 1.53GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Maleoon 920 |
RAM | 12GB RAM |
Muatan Dalaman | 512GB |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.4-f/4.0, (lebar), PDAF, OIS 48 MP, f/3.0, (telefoto makro), OIS 40 MP, f/2.2, (ultra-lebar), PDAF 4X optikal zum 40X digital zum 4K 60P |
Kamera Depan | 10 Megapixel |
Bateri | Si/C 5110 Berwayar 66W Nirwayar 50W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | IPX8 |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasa wajah |
Harga Jualan | RM8,688 (12/512GB) |
Rekaan Dan Skrin
Pengalaman menggunakan Huawei Mate X6 memang boleh dikatakan hampir sama dengan Honor Magic V3 dalam beberapa aspek khususnya dari segi rekaan dan kemasan. Walaupun peranti ini tidaklah senipis Magic V3 namun pengalaman penggunaan boleh dikatakan hampir sama. Mate X6 terasa premium di genggaman terutamanya untuk warna Nebula Red yang menggunakan Vegan Leather berwarna merah gelap di belakang.
Warna ini mengingatkan saya pada Honor Magic V3 yang bukan sahaja berdaya tahan lebih baik tetapi juga membuatkan peranti nampak lebih berkelas. Mate X6 juga kukuh dan tegap buatannya, selain itu selesa dipegang dengan perbezaan kecil pada ketebalan berbanding Magic V3. Di mana Mate X6 mempunyai ketebalan 4.9mm apabila dibuka yang bukan sahaja nipis tetapi juga selesa digunakan untuk jangka masa panjang.
Skrin boleh lipat utama ialah panel LTPO sebesar 7.9-inci dengan resolusi 2440 X 2240 piksel dan kecerahan puncak 1800 nits. Sementara itu skrin sekunder pula berukuran 6.45-inci yang juga sejenis LTPO AMOLED tetapi lebih terang dengan kecerahan puncak 2500nits, tetapi resolusi terhad pada FHD. Kedua-dua belah skrin menyokong HDR 10+ dan kadar segar semula 120Hz.
Huawei berkata skrin boleh lipat berkenaan dibina menggunakan plat kaca gentian karbon yang bantu mengukuhkan panel paparan, dan engsel yang menghubungkan pula lebih tegap. Manakala skrin luar dilapisi dengan kaca Kunlun generasi kedua untuk lebih tahan lasak. Bingkai pula diperbuat daripada aloi aluminium yang digilap dan melengkung untuk dipadankan dengan rekaan yang lain.
Modul kamera belakang mirip dengan Honor Magic V3 dengan tiga kamera yang disusun dalam grid 2 x 2 bersama Flash yang memanjang. Perlu dinyatakan bahawa tubuh Mate X6 menyokong kalis air IPX8 yang agak jarang berlaku dalam segmen sebegini dan boleh dikatakan sebagai salah satu tumpuan utama pada peranti ini.
Sama seperti kebanyakan telefon premium hari ini, Mate X6 mempunyai persediaan pembesar suara stereo dengan salah satunya di bahagian sisi bawah. Ia mengakibatkan audio stereo yang seimbang tidak dapat dicapai. Sekali lagi yang masih dikorbankan Huawei kali ini ialah bicu audio 3.5mm. Ruang slot SIM dan port USB-C turut boleh ditemui di bahagian yang sama.
Butang kuasa yang diintegrasikan dengan pengimbas cap jari dan laras audio pula diletakkan pada sisi sebelah kanan. Mate X6 sememangnya menawarkan pengalaman cengkaman yang hebat walaupun digunakan tanpa kerangka. Ia sememangnya terasa seperti sebuah telefon candy bar biasa terutamanya sewaktu dilipat kerana berat dan nisbah yang simbang menjadikan pengalaman penggunaan langsung tidak rasa kekok.
Cumanya saya sering kali menghadapi situasi di mana sukar untuk membuka lipatannya mungkin disebabkan oleh rekaan sisi peranti yang nipis dan melengkung. Keadaan yang sama pernah saya katakan sewaktu membuat ulasan untuk Honor Magic V3 sebelum ini maka diharapkan tiada pengeluar yang menghasilkan telefon lipat lebih nipis berbanding kedua-dua model ini.
Seperkara lagi yang menjadi masalah dalam adalah proses membuka lipatan juga terasa tersekat sebelum skrin boleh dipaparkan sepenuhnya. Punca tersekat tidak dapat dipastikan dengan sepenuhnya tetapi perkara itu sedikit sebanyak mengganggu penggunaan.
Prestasi pengimbas cap jari juga memuaskan dengan kebolehan mengesan jari dengan tepat. Cuma dirasakan kurang ergonomik yang menjadikan penggunaanya agak sukar terutamanya semasa telefon ditutup. Sebagai alternatif sistem imbasan wajah turut disediakan menerusi ruang tetapan.
Perisian Dan Cip Pemproses
Perisian terkini EMUI 15 digunakan untuk peranti versi global yang berbeza dengan variasi China dengan HarmonyNEXT. Walaupun tidak dinyatakan secara rasmi tetapi EMUI dilihat masih bergantung pada Android tersesuai sebagai terasnya. Seperti yang sudah-sudah Mate X6 juga tidak mempunyai Perkhidmatan GMS sebaliknya menyokong pemasangan APK melalui AppGallery, Petal Search atau APK Pure.
Tiada perubahan ketara dari segi antara muka tanpa kekurangan untuk pilihan tema, widget dan tetapan utama. Sebagai contoh panel pemberitahuan dan kawalan dibahagikan kepada dua bahagian. Selain turut mempunyai pintasan aplikasi yang berfungsi dengan baik, folder pintar yang boleh diubah saiznya, privasi dipertingkatkan dan sebagainya.
Ada perkara yang perlu dinyatakan bahawa Mate X6 mempunyai ciri multi tugas baharu yang membolehkan ia menjalankan tiga aplikasi hampir pada masa yang sama. Saya katakan hampir kerana kaedah ini pada asasnya mempunyai tiga aplikasi yang terapung dalam satu skrin yang sama. Setiap aplikasi boleh ditukar dengan cepat tetapi hanya dua aplikasi sahaja boleh diletak secara bersebelahan.
Ini bermakna bukanlah ketiga-tiga aplikasi akan dipaparkan seperti ciri Boundless View yang ditawarkan oleh Oppo pada peranti Find N3 sebelum ini. Meskipun begitu ia masih berguna buat mereka yang kerap menggunakan lebih daripada satu aplikasi dalam satu masa. Malahan video juga akan terus dimainkan tanpa henti walaupun saya tukar ke aplikasi lain sewaktu dalam fungsi ini.
Seperti biasa Huawei tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai cip yang digunakan apatah lagi konfigurasi CPU, GPU, NPU dan teknologi pengeluaran yang digunakan. Tetapi wakil Huawei mengesahkan bahawa peranti ini menggunakan cip baharu HiSilicon Kirin 9020. Ia merupakan cip penambahbaikan kepada Kirin 9010 yang digunakan pada Pura70 awal tahun ini.
Ia menggunakan konfigurasi teras 2+6+4 dengan dua teras utama pada kelajuan 2.5GHz, enam teras pertengahan pada kelajuan 2.1Ghz dan empat teras kecil pada kelajuan 1. 6GHz.Ini dipadankan pula dengan GPU Maleoon 920 dengan kelajuan 840MHz. Ini adalah peningkatan berbanding GPU Maleoon 910 dengan kelajuan 750MHz.
Persoalan yang masih belum dapat dijawab adalah teknologi yang digunakan tetapi besar kemungkinan masih lagi 7nm seperti cip generasi terdahulu. Huawei Mate X6 juga dilengkapi dengan 12GB RAM dan storan dalaman 512GB. Beberapa ujian penanda aras seperti Geekbench 6 dan Antutu 3D turut dijalankan. Tiada ujian untuk WildLife 3D memandangkan tidak boleh diakses.
Geekbench 6
- Huawei Mate X6 – 1458/4517
- Huawei Pura70 Pro – 1315/3895
- OnePlus 12R – 1081/4204
- Vivo X90 – 1668/4000
- Nothing Phone (2) – 1734/4576
- OnePlus Nord 3 5G – 1092/3337
Antutu 3D
- Huawei Mate X6 – 870, 705
- Huawei Pura70 Pro – 862,688
- OnePlus 12R – 1,431,444
- Vivo X90 – 1,147,029
- Nothing Phone (2) – 1,142,277
- OnePlus Nord 3 5G – 914,552
Prestasi penggunaan sebesar adalah baik-baik sahaja. Pengalaman menggunakan aplikasi harian biasa seperti melayari web, mengambil gambar, bermain permua dan lain-lain berfungsi dengan lancar seperti yang diharapkan. Prestasi permua juga di tahap baik cumanya isu pemanasan yang ketara sewaktu digunakan untuk tempoh masa panjang. Tetapi keadaan ini tidak pula berlaku sewaktu tempoh ketiga-tiga ujian penanda aras dilakukan.
Seperkara yang perlu diberi perhatian juga ciri imbasan kod bar atau kod QR yang akan membuka aplikasi Touch ‘n Go eWallet secara automatik untuk pembayaran lebih pantas sama sekali tidak dapat digunakan pada unit ulasan ini. Tidak dapat dipastikan mengapa isu berkenaan berlaku namun dipercayai unit diterima bukanlah perisian akhir yang stabil. Kebarangkalian pepijat atau sewaktu dengannya boleh berlaku.
Kamera Dan Kualiti Gambar
Mate X6 mempunyai empat kamera berbeza yang digunakan. Bahagian belakang menempatkan kamera utama 50MP, telephoto makro 48MP dan ultra lebar 40MP. Diikuti dengan dua kamera swafoto sebesar 10MP.Terdapat juga sensor baharu untuk mengesan warna sebagai pelengkap. Kamera utama 50MP mempunyai kebolehan kebolehan apertur berubah-ubah antara f/1.4 dan f/4.0 dan OIS. Kemudian kamera telephoto makro pula menyokong zum optikal 3X, atau digital 40X serta kebolehan mengambil gambar sedekat 5cm.
Tangkapan gambar turut boleh dibuat dengan nisbah 1:1, 3:4, dan penuh tanpa kebolehan nisbah 16:9 yang ditawarkan sehingga ke hari ini. Terdapat juga ciri AI Live Photo yang bukan sahaja boleh mengambil gambar pegun malahan sedikit animasi untuk lebih menarik. Misalnya boleh digunakan untuk mencipta gambar bergerak berulang-ulang seperti GIP melalui fungsi Loop.
Selain itu ciri Multi Expose pula boleh mencantum beberapa gambar menjadi satu untuk kesan yang artistik. Gambar swafoto turut boleh diambil melalui kamera utama lalu dipaparkan pada skrin sekunder. Kemampuan rakaman video pula maksimum 4K/60fps 16:9 dengan penstabilan dan autofocus terbina.
Kualiti imej yang diambil menggunakan kamera utama menunjukkan hasil yang baik dengan perincian terjaga dan penghasilan semula warna ke arah semula jadi. Begitu juga dengan gambar ultra-lebar yang dilihat baik dengan perincian dan warna yang mencukupi seakan kamera utama. Cuma terdapat sedikit kelembutan pada bahagian sudut bersama herotan yang sudah boleh dijangka pada fungsi kamera sebegini.
Kamera telephoto makro pula berfungsi dengan baik dengan hasil yang seperti dijangka. Secara lalai kamera boleh menangkap sehingga 10X zum manakala selebihnya perlu diubah melalui ruangan khas disediakan. Kualiti zum pula kelihatan baik sehingga 5X, dan selebihnya menjadi lembut dengan perincian dan warna yang tidak memuaskan. Mod Super Makro yang berfungsi pada kamera telephoto juga boleh menangkap subjek jarak dekat dengan baik.
Potrait Mode memberi hasil memuaskan dengan butiran yang jelas khususnya dalam situasi yang tidak kompleks. Kamera juga cukup bijak untuk membezakan latar belakang dan subjek lalu menambah kesan kabur sebagai elemen yang mencantikkan lagi gambar. Kesan bokeh ini turut boleh diubah ikut kesesuaian. Ia bagaimanapun tidaklah begitu sempurna kerana dalam sesetengah situasi pengesanan objek boleh dikatakan tidak sempurna dengan ia mengaburkan latar belakang yang salah.
Bateri Dan Pengecasan
Mate X6 dilengkapi bateri silikon karbon sebesar 5,110mAh. Ini dipadankan dengan sistem pengecasan 66W yang masih dianggap pantas namun agak kompetitif dalam segmen peranti pintar sekarang. Selain itu masih menggunakan port USB-A ke USB-C bersama kepala pengecas diberikan bersama dalam kotak pembelian.
Hayat bateri seperti yang dijangka dengan telefon boleh bertahan sehari penuh dengan penggunaan biasa. Seperti biasa penggunaan mungkin berbeza bergantung pada tempoh masa digunakan khususnya dalam mod skrin terbuka. Pengecasan semula peranti mengambil masa kurang satu jam yang menjadi kebiasaan untuk peranti Huawei yang menyokong sistem pengecasan 66W.
Apa Dalam Kotak
- 1 X Huawei Mate X6.
- 1 X Kepala pengecas.
- 1 X Kabel USBA-C.
- 1 X Manual pengguna.
- 1 X Kerangka pelindung.
Kesimpulan
Harga jualan Mate X6 yang tinggi dan kekurangan GMS bermakna ia bukan telefon untuk majoriti pengguna. Ini adalah telefon peminat setia semata tetapi mempunyai mempunyai fungsi apa yang mungkin diperlukan oleh segmen sebegini. Antara yang menjadi kebimbangan apabila memiliki telefon boleh lipat adalah saiz terlalu tebal, berat dan kurang mesra pengguna.
Namun Mate X6 menyelesaikan ketiga-tiga kebimbangan berkenaan malahan pengalaman penggunaan dirasakan hampir serupa dengan peranti standard biasa khususnya sewaktu dilipat. Prestasi juga seperti yang dijangka tanpa sebarang isu kegagalan pada sistem dan aplikasi. Bermain permua juga terasa menyeronokkan cuma berlaku pemanasan yang ketara untuk sesi yang panjang. Hayat bateri juga baik dengan sistem pengecasan pantas disokong bersama.
Kekurangan GMS benar-benar menenggelamkan penawaran peranti yang mengehadkan penggunaan khususnya mereka yang sangat bergantung pada aplikasi dan perkhidmatan Google. Begitu juga dengan harga jualan yang tinggi walaupun kurang RM200 berbanding Mate X3, masih menjadikan ia bukanlah sebuah peranti untuk majoriti pengguna. Saranan boleh diberikan adalah Honor Magic V3 sekiranya mahukan sebuah peranti dengan pengalaman seakan EMUI dengan GMS terbina sebagai bonus.
Pro
- Skrin OLED 120Hz di luar dan dalam.
- Cip Kirin 9020 berfungsi dengan lancar.
- Rekaan nipis.
- Kalis air IPX8.
- Sistem kamera memadai.
- Pembesar suara stereo.
Kontra
- Tiada RAM Maya.
- Tiada sokongan stylus.
- Pengecasan pantas sama.
- Tiada GMS.
- Harga jualan yang tinggi.