Sedang dunia menyambut hari membuka kotak semalam, dua imej pesawat misteri muncul di China. Kedua-dua pesawat adalah dipercayai prototaip pesawat tempur generasi ke-enam yang sedang dibangunkan China bagi memberikan ia kelebihan di medan pertempuran masa depan.
Pesawat pertama dilihat terbang bersebelahan pesawat tempur Chengdu J-20 yang sudah digunakan sejak 2017. Saiz kedua-dua pesawat adalah hampir sampir tetapi pesawat prototaip mempunyai rekaan tidak dilengkapi ekor. Ia menggunakan rekaan rata yang memberikan petunjuk ia juga sebuah pesawat sukar dikesan oleh radar.
Lebih unik dan menarik ialah pesawat ini dilengkapi tiga enjin jet dengan satu lubang udara untuk enjin dapat dilihat pada bahagian dorsal. Konfigurasi gear pendaratan dengan tayar berganda turut dapat dilihat. Ini adalah petanda pesawat ini adalah berat bagi membawa lebih banyak senjata di bahagian perut. Besar kemungkinan juga ia adalah sebuah pesawat pengebom tempur jarak sederhana di dalam kelas yang sama dengan Su-34.
Pesawat kedua pula hanya muncul dalam gambar yang kabur menyukarkan analisa sama ada ia dikawal juruterbang atau adalah sebuah dron swaterbang. Yang diketahui hanyalah ia dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC) yang membina pesawat pejuang J-35. Seperti prototaip pertama, pesawat kedua ini juga tidak mempunyai bahagian ekor. Sayap pula adalah berbentuk lambda yang sekali lagi berbeza dengan sayap delta pada pesawat pertama.
Kedua-dua pesawat diterbangkan secara terbuka sempena hari jadi Mao Zedong semalam dengan China kerap menggunakan tarikh ini untuk memperlihatkan beberapa program ketenteraan mereka sebelum ini. Dengan dua pesawat prototaip berjaya diterbangkan, ia meletakkan China sebagai negara dengan program pesawat pejuang gen-6 yang paling maju setakat ini.
Program Next Generation Air Dominance (NGAD) Amerika Syarikat setakat ini baru menerbangkan satu pesawat secara rahsia pada tahun 2020. Hanya dua rekaan konsep oleh Lockheed Martin dan Northrop telah diperlihatkan. Sementara itu rekaan pesawat projek Global Combat Air Programme (GCAP) di antara UK, Jepun Dan Itali baru sahaja diperlihatkan Julai lalu.