Projek pesawat tempur generasi ke-enam BAE Tempest diumumkan pada tahun 2018 dengan sasaran ia akan memulakan operasi pada tahun 2035 bagi kegunaan Tentera Udara Diraja United Kingdom. Tetapi projek ini telah mengalami beberapa perubahan dengan ia kini melibatkan Itali, dan Jepun bagi mengurangkan kos pembangunan dan juga menggabungkan kepakaran tiga negara di bawah projek baharu Global Combat Air Programme (GCAP).

BAE Systems telah berkongsi rekaan konsep baharu untuk Tempest yang memenuhi keperluan ketenteraan tiga negara yang terlibat. Tempest kini menggunakan rekaan sayap delta yang lebih besar, bahagian hadapan enjin yang lebih tajam untuk mengurangkan pantulan radar dan bahagian belakang sayap yang lebih lurus seperti yang diperlihatkan sebelum ini.
GCAP menggabungkan projek pesawat tempur Tempest dengan projek pesawat tempur F-X Jepun. Syarikat BAE Systems, Mitsubishi Heavy Industries dan Leonardo akan menjadi kontraktor utama dengan enjin pula dibangunkan oleh Rolls Royce dengan sistem senjata pula oleh MBDA.

Seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, enjin Rolls Royce yang digunakan mampu menjana bekalan elektrik bukan sahaja untuk sistem elektronik canggih tetapi juga untuk menyokong keperluan senjata laser kuasa tinggi di masa hadapan.
Kokpit pesawat tidak akan mempunyai panel instrumen tradisional tetapi akan dipadankan dengan sistem helmet realiti terimbuh untuk paparan maklumat lebih menyeluruh dan juga juruterbang boleh melihat menembusi tubuh pesawat sekaligus melupuskan titik buta. Helmet yang sama boleh membaca gelombang otak juruterbang untuk kawalan dengan hanya berfikir. Lebih menarik ialah ia mungkin dilengkapi sistem swaterbang yang membolehkan Tempest beroperasi seperti dron membolehkan ia beroperasi secara berkumpulan tanpa juruterbang manusia.