Carian
China Melancarkan Kapal Penyerang Amfibia Pertama Dunia Dengan Sistem Pelancar Elektromagnet
December 30, 2024 • Effi Saharudin

Minggu lalu adalah sangat bermakna bagi China kerana ulang tahun kelahiran Mao Ze Dong disambut dengan dua prototaip pesawat tempur generasi ke-enam. Kemunculan pesawat sukar dikesan radar buatan Chengdu dan Shenyang ini telah mengejutkan dunia kerana negara lain masih belum memperlihatkan pesawat mereka. Kemudian pada hujung minggu lalu China melancarkan pula kapal penyerang amfibia pertama dunia dengan sistem pelancar pesawat elektromagnet (EMAL) pertama di dunia.

Kapal Type 76 yang diberikan nama Sichuan ini dilengkapi satu sistem EMAL di bahagian kiri dek hadapan. Ini membolehkannya melancarkan pesawat tempur jet dan juga dron terus dari geladak seperti sebuah kapal pengangkut pesawat. Dua tahun lalu kapal pengangkut pesawat Fujian dilancarkan dengan sepasang sistem EMAL menjadikan China negara kedua selepas Amerika Syarikat menggunakan sistem ini.

Sistem EMAL menggunakan elektrik sepenuhnya. Kelebihannya berbanding sistem CATOBAR kuasa stim ialah ia tidak memerlukan tekanan stim secukupnya terlebih dahulu untuk melancarkan kapal terbang. Kekuatan EMAL juga boleh diubah sekaligus mengelakkan kerosakan pada dron bersaiz kecil ketika dilancarkan.

Kesemua pesawat penyerang amfibia di lautan sekarang tidak dilengkapi sistem pelancar. Jepun dan Amerika Syarikat kedua-duanya melancarkan pesawat F-35B yang terbang secara menegak pada kapal penyerang amfibia mereka. F-35B boleh dilancarkan secara mendatar daripada dek kapal tetapi dengan muatan senjata yang lebih ringan.

Pelancaran Sichuan menunjukkan kemampuan China untuk melancarkan sistem senjata baharu yang memenuhi keperluan sendiri setelah sekian lama bergantung kepada teknologi era Kesatuan Soviet.

Komen