ASUS dijangka akan memperlihatkan pelbagai penawaran produk baru di acara CES 2025 yang akan berlangsung pada minggu hadapan. Terkini, terdapat sebuah lagi produk baru yang telah tertiris ke arena web, kali ini oleh pihak ASUS sendiri.
Ia dilaporkan bahawa ASUS akan memperkenalkan model komputer gaming desktop kerdil ASUS ROG NUC terbaru sewaktu acara CES 2025 tidak lama lagi. Perkara ini disahkan apabila pihak ASUS sendiri nampaknya telah memuat-naik video acah untuk produk ini sebelum menurunkannya sebentar kemudian.
Tidak banyak yang diketahui mengenai komputer desktop ini, tetapi ia nampaknya akan tampil dengan rekaan serba baharu yang dilihat lebih agresif berbanding sebelum ini.
Dari segi spesifikasi, komputer ASUS ROG NUC terbaru ini dijangka akan hadir dengan cip pemprosesan Intel Core Ultra 200H dan pilihan untuk kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5060 ataupun GeForce RTX 5070. Butiran lain dijangka akan diumumkan sewaktu acara pelancaran mereka di CES 2025 minggu hadapan.