Pada umumnya, Oppo akan melancarkan peranti di bawah siri Reno sebanyak dua kali dalam setahun. Biasanya peranti di bawah siri ini akan mempunyai rekaan menarik bersama gabungan teknologi yang bersesuaian dengan era digital yang semakin pesat. Ini sangat bersesuaian dengan matlamat jenama itu sendiri di mana harus memilih teknologi yang relevan dan terkini bagi memastikan produk dapat berfungsi dengan baik selaras dengan perubahan teknologi semasa.
Baru-baru ini, Oppo telah mengesahkan peranti baharu Reno13 Pro 5G dan Reno13 5G akan memasuki pasaran Malaysia tetapi tarikh pelancaran rasmi masih kekal misteri hingga hari ini. Bagaimanapun kami di Amanz telah diberi peluang untuk mencuba dan melihatkan lebih dekat sebelum pelancaran rasmi. Berikut artikel pandang pertama ringkas mengenai perubahan dan tumpuan pada model ketiga belas peranti Oppo ini yang semakin dicabar oleh pesaing terdekat seperti Honor, Realme, Poco, Vivo dan Redmi.
Apa Di Dalam Kotak?
Kombinasi dekorasi berkonsep minimalis dengan warna dominan hitam dan putih masih menjadi pilihan utama Oppo kerana dekorasinya boleh dikatakan lebih kemas serta tampak teratur. Ia turut boleh dikenali dengan mudah melalui penjenamaan OPPO Reno13 dan Oppo Reno13 5G yang menghiasi bahagian atas kotak pembelian. Selain itu mempunyai penerangan ringkas berkaitan peranti di bahagian belakang. Apabila membeli kedua-dua model baharu ini anda kelak sudah tentu menerima peranti itu sendiri dengan balutan plastik jernih yang menjadi item utama paling penting. Ini diikuti dengan kerangka pelindung, kepala pengecas, pencungkil SIM, buku manual dan kabel USB-A ke USB-C.
Rekaan Fizikal
Saya memohon maaf kerana hanya boleh mengesahkan siri Reno13 5G dilengkapi dengan cip Mediatek Dimensity 8350 sementara spesifikasi lain perlu dirahsiakan sebelum pelancaran rasminya di Malaysia kelak. Cip ini mempunyai binaan teknologi 4nm dengan konfigurasi empat teras Cortex-A715 berprestasi tinggi (sehingga 3.35 GHz) dan empat teras Cortex-A510 yang cekap kuasanya. GPU Mali-G615 MC6 turut digunakan untuk keperluan grafik.
Kemudian teknologi Enjin StarSpeed pula didakwa dapat mengurangkan penggunaan kuasa sehingga 10% dan mempercepatkan peralihan antara adegan sehingga 24% sewaktu menjalankan permua dalam mod berprestasi tinggi. Setakat artikel ini ditulis, hanya peranti Oppo sahaja yang dikuasai cip berkenaan malahan dilihat mampu memberi saingan kepada Xiaomi 14T (MediaTek Dimensity 8300 Ultra) dan Vivo V40 (Snapdragon 7 Gen 3).
Kedua-dua peranti siri Reno13 5G ini mempunyai gabungan konsep neo-futuristik dan juga elegan. Ciri-ciri khas bagi model kali ini bukan sahaja terletak pada proses pembikinan dan reka bentuk mewah tetapi juga dalam penampilan gaya yang unik. Kedua-dua peranti ringan serta sedap dipegang lebih-lebih lagi sebelah tangan kerana binannya yang kukuh.
Rekabentuk tubuh kedua-duanya juga tidak tidak banyak berbeza. Malahan skrin hadapan rata juga nampak luas disebabkan oleh bezel yang nipis di keempat-empat bahagian sisi skrin. Bingkai rata yang digunakan juga mampu menarik perhatian ramai dan dibina sebaiknya daripada bahan sejenis logam yang berkualiti tinggi.
Tetapi kalau saya disuruh memilih sudah tentunya Reno 13 Pro 5G dalam warna Plume Purple menjadi kegemaran. Menampilkan kelainan dengan konsep Butterfly Shadow Design benar-benar menunjukkan bagaimana kemasan matte dan berkilat boleh digabungkan dengan sebaiknya. Setiap elemen bukan sahaja memberikan kesan cahaya dan bayangan yang cantik, tetapi juga menghasilkan efek visual yang menyerupai kepak rama-rama dengan cahaya yang terang.
Ini tidak bermakna Reno 13 5G dalam warna Luminous Blue tidak cantik. Malahan kebanyakan rakan sepejabat saya berpendapat peranti berkenaan menampilkan kelainan dengan aura mewah yang bersahaja. Kalau diikutkan dari segi saiz binaan memang lebih kompak dan kecil berbanding versi pro.
Panel belakang peranti mempunyai kilauan halus yang memantulkan cahaya dengan cara yang berbeza.
Permukaannya juga bertekstur untuk pengalaman cengkaman yang lebih baik. Namun anda semua jangan tertipu dengan efek seakan pantulan cahaya di sekeliling bonggol kamera kerana ia hanyalah kemasan fizikal semata-mata. Ia berlainan sama sekali dengan ciri Breathing Light yang pernah diperkenalkan pada peranti Reno7 5G dan Reno8 F 5G.
Sekilas pandang agak sukar untuk saya membezakan rekaan modul kamera antara Reno 13 5G dan Reno 13 Pro 5G. Terdapat persamaan di antara kedua-duanya yang menggunakan modul kamera berbentuk segi empat bersama sistem tri-kamera di dalamnya. Dua daripada sensor berkenaan bersaiz besar, sementara itu sensor ketiga bersaiz lebih kecil diletakkan bersebelahan dengan LED Flash.
Di sinilah timbulnya perbezaan amat ketara untuk reka bentuk sensor ketiga dan saiz LED Flash. Di mana saiz sensor dan LED Flash pada Reno13 5G adalah lebih kecil berbanding versi pro. Namun begitu, diyakini bahawa kedua-duanya mampu sahaja mengambil dan menghasilkan foto berkualiti tinggi.
Susun atur butang standard pada kedua-dua peranti sama seperti beberapa model terdahulu. Butang kuasa dan laras audio ditempatkan pada sisi kanan manakala sebelah sisi kiri tidak pula menempatkan sebarang port dan butang. Sokongan pemancar infra merah juga masih disediakan pada bahagian sisi atas bersama satu kekisi untuk pembesar suara stereo. Bahagian sisi kiri tidak menempatkan sebarang port dan butang.
Sementara itu port USB-C, kekisi pembesar suara dan talam dwi-SIM bersaiz nano turut boleh ditemui di bahagian sisi bawah peranti. Sekali lagi tiada sokongan bicu audio 3.5mm yang sedia dibuang sejak model Reno5 Pro 5G lagi. Namun sebenarnya yang mencuri perhatian tentulah ketahanan kalis air IP69 yang sepatutnya mampu melindungi peranti dari kerosakan air bertekanan tinggi.
Itu sahaja sedikit sebanyak perkongsian untuk memahami secara ringkas tentang Reno13 Pro 5G dan Reno13 5G buat masa ini. Seperti yang diperkatakan, kesemua butiran lanjut yang termasuk perkakasan dalaman dan harga jualan rasmi hanya akan didedahkan selepas pelancaran rasmi. Ulasan penuh juga akan diterbitkan kemudian menerusi artikel yang akan datang.