Siri OnePlus 13 akan dilancarkan untuk pasaran global pada malam 7 Januari ini. Dua peranti disahkan akan dilancarkan adalah OnePlus 13 dan OnePlus 13R.
Kedua-dua peranti ini sudah pun melepasi SIRIM sejak Oktober tahun lepas. Untuk pasaran Malaysia, wakil OnePlus Malaysia telah mengesahkan kepada kami OnePlus 13 akan tiba ke pasaran Malaysia pada 7 Januari ini.
OnePlus 13 hadir dengan skrin 6.82” LTPO 4.1, OLED, 120Hz ProXDR yang dijana cip Snapdragon 8 Elite. Sistem tri-kamera 50MP Hasselblad masih dikekalkan dengan sensor Sony LYT-808, LYT-600 dan S5KJN5. Bateri adalah dwi-sel 6000mAh dengan pengecasan 100W SuperVOOC + 50W AirVOOC.
Harga jualan masih belum didedahkan lagi. OnePlus adalah jenama alternatif kepada Oppo. Jika Find X8 dijual pada RM3699, Find X8 Pro pada RM4999, ini bermakna harga OnePlus 13 mungkin adalah sekitar RM4599 ke RM4899. Sama-sama kita nantikan.