Pengasas Terraform Labs, Do Kwon mengaku tidak bersalah ke atas pertuduhan penipuan komoditi, penipuan sekuriti, penipuan wayar dan konspirasi pengubahan wang haram melibatkan pelaburan kripto menerusi syarikat beliau. Skandal menyebabkan pelabur kerugian $40 bilion dan sekiranya didapati bersalah, Do Kwon berhadapan penjara selama 130 tahun.
Pengakuan tidak bersalah direkodkan di mahkamah di Manhattan semalam. Beliau telah diekstradisi dari Montenegro ke Amerika Syarikat pada 1 Januari selepas ditangkap pihak berkuasa Montenegro pada tahun 2023.
Selepas kejatuhan skim pelaburan ini, Do Kwon melarikan diri ke Singapura. Bagi mengheret beliau ke muka pengadilan, pihak berkuasa Korea Selatan telah meminta bantuan Interpol. Beliau ditangkap bersama seorang lagi suspek selepas didapati menggunakan dokumen palsu ketika cuba terbang ke Dubai.
Tahun lalu, Sam Bankman Fried yang terlibat dengan penyelewengan FTX dijatuhkan hukuman penjara 25 tahun oleh mahkamah di New York. SBF didapati bersalah dalam tujuh pertuduhan melibatkan pengubahan wang haram dan penipuan atas talian melibatkan kerugian mencecah $8 bilion.