Pengasas syarikat Terraform Labs, Do Kwon telah diekstradisi dari Montenegro ke Amerika Syarikat bagi berhadapan pertuduhan melakukan penyelewengan kripto. Beliau ditangkap pihak berkuasa Montenegro tahun lalu selepas melarikan diri selama enam bulan. Notis merah dikeluarkan Interpol ke atas beliau kerana terlibat dalam skandal wang kripto Luna dan TerraUSD (UST) yang menyebabkan pelabur kerugian lebih $40 bilion.
Selepas kejatuhan skim pelaburan ini, Do Kwon melarikan diri ke Singapura. Bagi mengheret beliau ke muka pengadilan, pihak berkuasa Korea Selatan telah meminta bantuan Interpol. Beliau ditangkap bersama seorang lagi suspek selepas didapati menggunakan dokumen palsu ketika cuba terbang ke Dubai.
Tahun 2022 adalah tahun yang malang bagi pelabur kripto dengan puluhan skim penipuan dilaporkan serta penutupan syarikat besar seperti FTX dan Three Arrow Capital. Nilai wang kripto seperti Bitcoin menjunam dan hanya pulih awal tahun ini sebelum mencapai nilai tertinggi dalam sejarah dua minggu lalu.