Carian
nubia Music 2 Dan nubia V70 Design Kini Di Malaysia Dengan Harga Bermula RM389
January 6, 2025 Fahim Zahar

Telefon pintar kelas asas dengan speaker gergasi nubia Music bakal hadir dengan penggantinya tidak lama lagi. Bersama-sama dengannya V70 Design pengganti kepada V60 turut kini tiba di pasaran Malaysia. Kedua-dua peranti ini telah pun didaftarkan di SIRIM menurut nubia Malaysia agar tidak keliru dengan set global lain.

Untuk nubia Music 2, rekaan panel belakang dengan corak geometri yang seakan lukisan seni moden Piet Mondrian masih dikekalkan. Begitu juga dengan sistem dwi-kamera menegak di atas dan di bawah. Speaker kini mempunyai hiasan yang menampakkan seakan modul yang terus melentur ke sisi peranti. Tiada lagi bonggol kamera gergasi kerana semuanya kini hampir rata di bahagian belakang atas.

Speaker kini menggunakan sistem saluran 2.1, audio dioptimasikan dengan DTS:X Ultra, dan aras suara boleh ditingkatkan sehingga tahap 600%. Ciri AI Melody Breathing Light diperkenalkan untuk sistem LED bergerak mengikut rentak audio yang dimainkan. Rekaan LED adalah seakan Nothing Phone, tetapi digabungkan dengan modul speaker untuk kelihatan seakan pemain piring hitam.

Ciri Touch-To-Share turut ditawarkan untuk pengguna sama nubia Music 2 berkongsi muzik dengan hanya menyentuh peranti satu sama lain. Skrin peranti adalah 6.7-inci 120Hz LCD, menggunakan kamera 50MP, bateri 5000mAh, ciri AI pemadam ajaib turut disertakan dan pilihan panel belakang corak lain turut diperkenalkan kali ini.

Untuk nubia V70 Design pula, ia adalah peranti kelas asas memfokuskan kepada teknologi kecerdasan buatan generatif. Kamera 50MP pada peranti ini hadir dengan ciri AI Magic Photo Suite untuk suntingan mudah lebih profesional. Selain turut mempunyai ciri Magic Lens untuk mengesan kandungan di dalam imej. V70 Design adalah peranti asas dengan rekaan premium, untuk pengguna kurang berkemampuan menikmati pengalaman penggunaan peranti mercu pada harga mampu.

nubia Music 2 dijual di Malaysia pada harga RM389 untuk variasi 4GB (+4GB Maya) RAM + 128GB storan dalaman. Dua pilihan rekaan adalah POP Art dan juga Melody Wave. nubia V70 Design pula dijual pada harga RM449 untuk 8GB (+8GB Maya) RAM + 128GB storan dalaman dengan pilihan warna Jade Green atau Stone Grey. Pembelian kedua-dua peranti ini melayakkan pengguna menerima botol air nubia Sports Bottle dan ZTE Bluetooth Speaker.

Komen