Acer Nitro Blaze 7 ialah konsol PC pertama Acer, yang diperkenalkan sewaktu acara IFA di Berlin pada pertengahan tahun lepas. Mereka mengikuti trend syarikat-syarikat komputer yang mengeluarkan konsol sebegini, dan ia dilihat tampil dengan penawaran yang cukup menarik sekali.
Di acara CES 2025, Acer dikatakan akan memperkenalkan dua buah model konsol PC ini, iaitu Acer Nitro Blaze 8 dan Acer Nitro Blaze 11 yang akan tampil dengan bukan sahaja penawaran saiz paparan berbeza, tetapi juga dijuasakan oleh siri cip pemprosesan AMD Ryzen 300 AI.
Pilihan untuk menggunakan siri cip pemprosesan AMD Ryzen 300 AI cukup menarik khususnya kerana AMD akan melancarkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z2 yang dibangunkan khusus untuk konsol-konsol sebegini. Tetapi apa yang pasti ialah kedua-dua konsol ini boleh dilihat sebagai penaiktarafan dari segi spesifikasi kepada konsol yang dilancarkan mereka pada tahun lepas.
Apa yang menarik ialah jika Acer akan cuba hadir dengan gimik mereka sendiri berkenaan konsol-konsol ini untuk membezakan diri mereka dengan jenama-jenama lain seperti ASUS, Lenovo dan MSI yang juga akan memperlihatkan konsol-konsol PC mereka sendiri di acara tersebut.