Samsung dan Google terus menunjukkan hubungan erat mereka di khalayak ramai dengan pengumuman Eclipsa Audio. Ia adalah teknologi audio untuk televisyen pintar dan lebih spesifik adalah sejenis piawaian audio bagi bersaing dengan Dolby Atmos.
Di CES 2025, Eclipsa Audio diperkenalkan dengan nama rasmi selepas kali pertama diumumkan pada tahun 2023. Nama asalnya adalah Immersive Audio Model and Formats (IAMF) dan ia adalah untuk audio spatial sumber terbuka. Piawaian ini IAMF telah pun diadaptasi oleh Alliance for Open Media dan televisyen Samsung adalah yang terawal menggunakannya.
Teknologi Eclipsa turut akan dibawakan ke platform selain televisyen, seperti untuk Chrome suatu hari nanti. Dengan pengenalan kepada Eclipsa, Samsung dan Google boleh bergantung kepada teknologi audio sendiri berbanding membayar lesen kepada Dolby. Secara tidak langsung, kos pembangunan produk akan dapat dijimatkan. Sayang sekali, pengenalan piawaian audio tersendiri tidak bermakna pengguna dapat menikmati harga produk pada harga lebih mampu.
Eclipsa Audio akan menggunakan sumber audio yang dimainkan pada televisyen seperti daripada speaker terbina, soundbar atau set kepala. Bukan itu sahaja, Eclipsa turut boleh melakukan simulasi audio secara menegak – bermakna pancaran audio seakan keluar dari atas atau bawah.
Eclipsa Audio akan digunakan pada semua televisyen Samsung Crystal UHD dan Neo QLED 8K model tahun 2025. Untuk pencipta kandungan, tahun ini Google akan menawarkan sokongan memuat naik video dengan audio Eclipsa dan apabila memainkan video pada televisyen Samsung – kesan imersif dan audio spatial 3D dapat dinikmati.
Sama-sama kita nantikan dan lihat, sampai manakah Eclipsa Audio dapat diintegrasikan ke pelbagai produk.