Carian
Ulasan Poco X7 – Menarik Pada Ciri, Menarik Juga Pada Harganya
January 14, 2025 Effi Saharudin

Tahun lalu saya memilih Poco F6 sebagai telefon pintar nilai terbaik kerana pada harga bawah RM2000 sebuah, anda dapat memiliki sebuah telefon dengan cip hampir mercu dan juga prestasi yang cukup memuaskan. Di awal 2025, Poco X7 pula muncul dengan ia merupakan sebuah peranti kelas pertengahan. Jika peranti mercu Poco berbaloi, adakah peranti kelas pertengahan mereka mengikuti jejak langkah yang sama?

Spesifikasi

Poco X7
Skrin6.67″ AMOLED, FHD+, 120Hz
Dolby Vision
PemprosesDimensity 7300 Ultra (4nm)

4x 2.5 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Cip GrafikMali-G615 MC2
RAM8/12 GB LPDDR4X
12 GB Maya
Storan256/512 GB UFS 2.2
Kamera Utama50MP, f/1.5, OIS (Sudut Lebar)
8MP. f/2.2 (Ultra Lebar)
2MP, f/2.4 (Makro)
Kamera Depan20MP, f/2.2
Bateri5110mAh
45W (Berwayar)
Sim/TelefoniDwi-SIM 5G
AudioSpeaker Stereo
Dolby Atmos
RangkaianWiFi 6,
Bluetooth 5.4
NFC
Infra MerahYa
Kalis AirIP68
Sistem ImbasanCap jari bawah skrin
Imbasan wajah
Harga JualanRM1199 (8/256 GB)
RM1399 (12/512 GB)

Skrin

Skrin adalah sebesar 6.67″ AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz tetapi bukan dari jenis LTPO dan melengkung pada bahagian atas dan sisi. Saya kurang menggemari skrin melengkung kerana kandungan akan melimpah ke sisi dan dengan peranti ini mempunyai tubuh yang nipis, membuatkan ia kurang selesa dalam tangan.

Skrin AMOLED memberikan keterangan yang memuaskan khusus ketika peranti digunakan di luar. Setiap sentuhan dikesan dengan haptik yang tidak mengecewakan. Sungguhpun X7 ialah sebuah peranti yang agak mampu milik, ia hadir dengan sokongan HDR10+ dan Dolby Vision. Kandungan Dolby Vision di Max dan Netflix dapat distrim tanpa sebarang isu.

Biometri

Sistem pengimbas cap jari bawah skrin adalah dari jenis optikal tetapi lokasinya agak ke bawah. Ini ialah isu yang serang saya lihat pada peranti kelas pertengahan mampu milik. Masa mengimbas cap jari dan wajah adalah pantas serta tidak mengecewakan.

Rekaan

Peranti mempunyai kerangka logam yang tegap dengan sisi yang dibulatkan. Poco masih belum sedia berubah ke rekaan serba rata yang dipopularkan oleh Apple sebelum digunakan oleh pengeluar lain seperti Samsung dan Oppo. Seperti telah saya katakan di atas, kerana panel kaca yang melengkung, peranti terasa nipis di dalam tangan membuatkannya kurang selepas digunakan tanpa sebuah kerangka.

Pada model yang diulas, panel belakang adalah diperbuat daripada bahan kulit vegan dengan tekstur kasar. Ini membuatkan panel belakang tidak licin dan langsung tidak mengumpul kekotoran dengan mudah. Terdapat dua sisi speaker yang menembak ke sisi pada X7 memberikan sistem audio stereo yang seimbang.

Pada bahagian atas terdapat pemancar infra merah. Sementara itu di bawah terdapat port pengeasan USB-C dan juga talam untuk dua SIM nano. Tiada sokongan untuk kad mikro SD diberikan pada peranti ini tetapi di Malaysia sokongan NFC diberikan. Ini membolehkan peranti digunakan untuk melakukan pembayaran secara nirtunai dan menambah nilai kad NFC Touch N’ Go.

Bonggol kamera di belakang adalah besar tetapi tidak begitu tinggi. Ianya lebih besar berbanding bonggol pada sebuah iPhone 16 Pro Max. Gelung logam mengelilingi bonggol dan empat lensa kamera serta flash. Kerana bonggol ini besar tetapi tidak tinggi, peranti boleh diletakkan di atas meja tanpa terasa ia terjongkang jongket.

Keseluruhan tubuh peranti turut melepasi piawaian IP68. Adalah menakjubkan peranti dengan harga bawah RM1500 mempunyai speaker stereo, skrin Dolby Vision, speaker stereo, kemampuan kalis air dan pengimbas cap jari bawah skrin.

Penggunaan – HyperOS

HyperOS adalah berasaskan Android 14 yang adalah sedikit aneh kerana Poco X7 Pro dilancarkan dengan HyperOS 2 berasaskan Android 15. Mengapa tidak diseragamkan sahaja sistem operasi pada kedua-dua peranti? Sistem operasi ini nampak ceria dengan pelbagai ciri tambahan yang menarik seperti menambah RAM maya sehingga 12GB.

Penggunaan HyperOS adalah lancar sungguhpun sekadar dilengkapi cip Dimensity 7400 Ultra yang masih menggunakan teras Cortex A78 dan A55 sahaja. Proses pemasangan aplikasi adalah sederhana pantas kerana hanya dilengkapi memori UFS 2.2 Di sini dapat dilihat kenap X7 dijual pada harga yang mampu milik.

Perkara negatif yang boleh disentuh ialah jumlah aplikasi gendut terpasang yang agak banyak. Sistem HyperOS juga gemar menyarankan pemasangan aplikasi yang besar kemungkinan tidak diperlukan. Nasi baik iklan untuk aplikasi-aplikasi ini boleh dimatikan dalam skrin tetapan peranti. Satu lagi isu ialah ia tidak mempunyai banyak ciri AI yang menjadi trend pengeluar lain. Sebagai pengguna tegar Circle to Search, ketiadaannya pada X7 juga amat dikesali.

Poco menjanjikan sokongan 3 versi Android dan 4 tahun tampalan sekuriti untuk X7 yang saya rasakan munasabah untuk peranti yang mampu milik.

Penanda Aras

Cip Dimensity 7300 Ultra yang digunakan Poco X7 masih sebuah cip kelas pertengahan yang dilengkapi empat teras Cortex-A78 dan Cortex-A55 yang sudah agak berusia serta GPU Mali G615. Saya bandingkan cip ini dengan Snapdragon 7s Gen 2 (Realme 13 Pro+ 5G) , Dimensity 7300 Energy (Realme 13+ 5G ), Dimensity 7300 (CMF Phone 1), Dimensity 7020 (Infinix Note 40 Pro) dan Dimensity 8200 Ultimate (Infinix GT 20 Pro).

AnTuTu 3D

  • Poco X7 – 686,014
  • Realme 13+ 5G – 741,709
  • Realme 13 Pro+ 5G – 613,504
  • CMF Phone 1 – 644,913
  • Infinix Note 40 Pro – 450,320
  • Infinix GT 20 Pro – 933,015

Geekbench 6

  • Poco X7 – 1026/2936
  • Realme 13+ 5G – 921/2127
  • Realme 13 Pro+ 5G – 899/2763
  • CMF Phone 1 – N/A
  • Infinix Note 40 Pro – N/A
  • Infinix GT 20 Pro – N/A

Geekbench 6 AI

  • Poco X7 – 822/816/1637
  • Realme 13+ 5G – 621/594/1095
  • Realme 13 Pro+ 5G – 327/342/699
  • CMF Phone 1 – 1044/2927
  • Infinix Note 40 Pro – 1120/3338
  • Infinix GT 20 Pro – 1244/3516

3DMark Wild Life Extreme

  • Poco X7 – 850
  • Realme 13+ 5G – 855
  • Realme 13 Pro+ 5G – 809
  • CMF Phone 1 – 851
  • Infinix Note 40 Pro – N/A
  • Infinix GT 20 Pro – 1736

Markah penanda aras yang dicatatkan adalah sekadar sederhana sahaja tetapi setanding dengan cip lain dalam kelas yang sama. Peranti boleh menjalankan pelbagai aplikasi lazim dan permua dengan baik asalkan pada tetapan sederhana. Ia tiada isu menjalankan Mobile Legends Bang Bang, Asphalt 9 dan COD Mobile. Seperti yang saya katakan di atas, ciri penambahan RAM maya sehingga 12GB membolehkan lebih banyak aplikasi dijalankan secara serentak. Cuma kerana storan UFS 2.2, pemasangan aplikasi adalah tidak sepantas pada peranti mercu dengan UFS 4.0.

Kamera

Kamera utama terdiri daripada lensa sudut lebar 50MP dengan OIS, lensa ultra lebar 8MP dan lensa makro 2MP. Ini dipadankan pula dengan kamera swafoto 16MP yang diletakkan dalam lubang kamera. Kualiti gambar yang diambil adalah seperti di bawah. Nampak cantik dan tajam dalam situasi pencahayaan yang baik.

Gambar mod malam adalah sederhana sahaja tetapi masih nampak jelas kerana terdapat sistem OIS. Mod malam hanya nampak sedikit kabur apabila menggunakan lensa ultra lebar yang tidak dilengkapi OIS. Secara keseluruhan prestasi kamera Poco X7 adalah setimpal bagi sebuah peranti kelas pertengahan mampu milik.

Audio

Dengan kedua-dua speaker menembak ke sisi, audio yang dilontarkan adalah seimbang dibantu oleh sistem Dolby Atmos dan Xiaomi Sound. Pada waktu ini audio Atmos hanya disokong pada aksesori TWS. Speaker lantang dan jelas dengan kualiti audio yang tidak menyakitkan telinga walaupun pada tetapan audio paling lantang.

Bateri

Bateri 5110 mAh adalah cukup besar untuk peranti bertahan sepanjang hari. Secara purata jika pengecasan penuh dilakukan pada jam 7 pagi, masih terdapat sekitar 15% pada jam 10 malam dalam penggunaan sederhana. Dalam penggunaan yang lebih berat, SOT sekitar 8 jam boleh dicapai.

Pengecasan semula bateri boleh dilakukan dalam masa sekitar 70 minit yang adalah memuaskan oleh bateri sebesar ini dan sokongan pengecasn 45W. Pengecas diberikan dengan setiap pembelian maka pemilik tidak perlu risau membelinya secara berasingan.

Perbandingan

Poco X7Oppo Reno13 F 5GRealme 13+ 5G
6.67″ AMOLED, 1220 x 2712  ,
120Hz, Dolby Vision, 3000 nit
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400,
120Hz, HDR10+, 2100 nit
6.67″ AMOLED, 1080 x 2400,
120Hz, HDR10+, 2000 nit
Dimensity 7300 Ultra (4nm)

4x 2.5 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Snapdragon 6 Gen 1 (4nm)

4x 2.2 GHz Cortex-A78
4x 1.8 GHz Cortex-A55
Dimensity 7300 Energy (4nm)

4x 2.5 GHz Cortex-A78
4x 2.0 GHz Cortex-A55
Mali-G615 MC2Adreno 710Mali-G615 MC2
8/12 GB LPDDR4X8/12 GB LPDDR4X12 GB LPDDR4X
256/512 GB UFS 2.2256 GB UFS 3.1256/512 GB UFS 3.1
MikroSD 1TB
Kamera Utama
50MP f/1.5, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Lebar)
2MP f/2.4 (Makro)
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
8MP f/2.2 (Ultra Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Utama
50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar)
2MP f/2.4 (Kedalaman)
Kamera Hadapan
20MP, f/2.2
Kamera Hadapan
32MP, f/2.4
Kamera Hadapan
16 MP, f/2.4
IP68IP69IP65
Tiada bicu audioTiada bicu audioBicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
5110 mAh (Berwayar 45W)5800 mAh (Berwayar 45W)5000 mAh (Berwayar 80W)
RM1,199 (8/256 GB)
RM1,399 (12/512 GB)
RM1,399 (8/256 GB)
RM1,499 (12/256 GB)
RM1,799 (12/512 GB)
RM1399 (12/256 GB)
RM1799 (12/512 GB)

Apa Ada Dalam Kotak

Berikut ialah komponen yang disertakan dengan setiap pembelian.

  • 1x Poco X7
  • 1x Kerangka pelindung plastik
  • 1x Kabel USB-A ke USB-C.
  • 1x Pengecas USB-A 45W
  • 1x Buku panduan dan keselamatan.
  • 1x Pin SIM

Kesimpulan

Poco X7 ialah peranti kelas pertengahan yang dilengkapi skrin yang menyokong Dolby Vision, pemproses kelas pertengahan yang agak pantas, kamera yang memuaskan, audio stereo yang baik dan kemampuan kalis air IP68. Ia adalah peranti yang dijual pada harga antara RM1199 dan RM1399 yang saya rasakan berbaloi untuk ciri-ciri yang diberikan.

Kekurangan ialah ia masih lagi menggunakan Android 14 sedang “abangnya” Poco X7 Pro sudah menggunakan Android 15. Kapasiti baterinya besar tetapi pengecasan sekadar 45W adalah perlahan jika dibandingkan dengan Realme 13+ yang menyokon/g 80W. Sungguhpun begitu untuk peranti di tanda harga ini, kekurangan yang wujud boleh dimaafkan.

PRO

  • Skrin AMOLED 120Hz dengan sokongan Dolby Vision.
  • Cip kelas pertengahan yang masih berupaya memberikan pengalaman yang baik
  • Bateri besar bertahan sepanjang hari.
  • Perlindungan kalis air/debu IP68.
  • Harga yang menarik untuk ciri ditawarkan.

KONTRA

  • Pengecasan sekadar 45W.
  • Masih menggunakan Android 14.
  • Kamera makro tidak begitu berguna.
Komen