Oppo dilihat meneruskan inovasi yang menarik melalui pelancaran peranti baharu Reno13 Pro. Ia bukan sahaja memukau dengan rekaan yang elegan tetapi juga dilengkapi pelbagai ciri canggih yang memenuhi keperluan pengguna moden. Ulasan kali ini kami akan berkongsi dengan lebih mendalam setiap aspek berkaitan peranti baharu ini.
Spesifikasi
OPPO Reno13 Pro 5G | |
---|---|
Skrin | 6.83-inci 120Hz, HDR10+, 1200 nits 1272 x 2800 pixels (~450 ppi density) Corning Gorilla Glass 7i |
Pemproses | Mediatek Dimensity 8350 (4 nm) |
Cip | 1 x 3.35 GHz Cortex-A715 3 x 3.20 GHz Cortex-A715 4 x 2.20 GHz Cortex-A510 |
Cip Grafik | Mali G615-MC6 |
RAM | 12GB RAM LPDDR5X RAM Maya (+12GB RAM) |
Muatan Dalaman | 512GB UFS 4.0 |
Kamera Utama | 50 MP, f/1.8, 24mm (lebar), OIS 50 MP, f/2.8, 85mm (telephoto), OIS 8 MP, f/2.2, 15mm, (ultra lebar) |
Kamera Depan | 550 MP, f/2.0 |
Bateri | 5800 mAh Berwayar 80W Nirwayar 50W |
SIM/Telefoni | Dwi SIM Nano /5G |
NFC | Ya |
Infra Merah | Ya |
Kalis Air | IP68/69 |
Sistem Imbasan | Imbasan cap jari Imbasan wajah |
Harga Jualan | RM2,999 (12/512GB) |
Rekabentuk Dan Skrin
Siri Oppo Reno sentiasa terkenal dengan pilihan reka bentuknya yang menarik dan Reno13 Pro juga tidak terkecuali. Telefon ini mempunyai panel hadapan dan belakang rata dengan sisi membulat yang membentuk kerangka utama. Ia juga nipis dan ringan membuatkan pengalaman memegang dalam sebahagian besar kerja harian menjadi lebih menyenangkan. Saya juga semakin menghargai telefon dengan paparan sebegini yang sebenarnya berfungsi dengan lebih baik dalam sebahagian penggunaan harian.
Selain itu pengolahan unsur seni yang menimbulkan gambaran seakan kepak rama-rama terdapat pada bahagian belakang telefon bagi tujuan menambah sentuhan elegan. Ini menunjukkan bagaimana kemasan pusam dan berkilat boleh digabungkan dengan sebaiknya. Pada masa sama memastikan ia tidak licin serta paling penting sekali tidak memerangkap kotoran dengan mudah. Ia masih boleh digunakan kerangka TPU yang diberikan percuma namun sudah semestinya tidak dapat merasai perbezaan yang jelas di antara tekstur berkilat dan matte yang juga menghasilkan kemasan halus seperti pasir.
Ruangan yang sama turut mempunyai bonggol kamera berbentuk empat segi bersaiz sederhana besar dan nipis yang mungkin menarik perhatian orang di sekeliling. Ia menggunakan bahan seakan kaca licin dengan gabungan warna yang menarik. Selain itu mempunyai dua lagi bonggol lain secara jelas terkeluar daripada bingkai yang mungkin memberi gangguan bagi sesetengah pengguna. Sementara itu sensor ketiga bersaiz lebih kecil diletakkan bersebelahan dengan LED Flash.
Elemen rekaan lain termasuklah pengimbas cap jari dalam skrin yang berfungsi dengan baik dan sensitif terhadap sentuhan jari. Sistem biometri lain turut disediakan seperti kata laluan, nombor pin dan lukisan sebagai pilihan tambahan yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna.
Pembesar suara stereo digunakan dengan ia boleh ditemui di bahagian bawah dan atas dengan lontaran audio yang menembak ke sisi. Audio stereo yang lantang dapat dinikmati sepasang pembesar suara ini. Namun tidak seimbang kerana bahagian bawah kedengaran lebih kuat berbanding pembesar suara di bahagian atas. Sekali lagi yang masih dikorbankan Oppo kali ini ialah bicu audio 3.5mm.
Pada sisi kanan terdapat butang kuasa dan laras audio dengan binaan yang kukuh. Bergerak ke bahagian kiri pula tidak menempatkan sebarang butang dan lubang. Terdapat slot untuk SIM, lubang mikrofon dan kekisi audio pada bahagian bawah. Tiada ruangan kad mikro-SD sebaliknya talam SIM hanya menyokong dwi-SIM bersaiz nano. Peranti turut dilengkapi pemancar merah yang menjadikan ia praktikal digunakan sebagai alat kawalan jauh di bahagian atas.
Skrin 6.7-inci AMOLED digunakan menawarkan visual yang baik bersama kecerahan puncak 800 nits. Penghasilan semula warna kelihatan tajam walaupun dilihat dari sudut berbeza. Selain itu mempunyai tahap kecerahan skrin mencukupi menjadikan ia boleh dibaca dengan baik walaupun di bawah cahaya matahari terang. Skrin juga menyokong kadar segar semula 120Hz bagi tujuan peralihan animasi yang lancar dan responsif. Kandungan Netflix turut boleh ditonton dalam resolusi HD penuh kerana skrin melepasi persijilan Widevine L1 DRM.
Secara keseluruhan bahan binaan serta kualiti kemasan Reno13 Pro amat baik bagi sebuah peranti kelas pertengahan. Pujian ingin saya berikan kepada Oppo kerana menghasilkan peranti yang bukan sahaja kelihatan menarik tetapi premium di dalam tangan. Perkara penting yang anda kena tahu tentang Reno13 Pro ialah telefon ini kalis air IP68/IP69.
Perkakasan Dan Perisian
Peranti dijana pemproses lapan teras MediaTek Dimensity 8350, memori 12GB RAM dan storan 512GB pada model yang diulas. Kombinasi RAM dan storan ini dirasakan standard bagi kebanyakan peranti pertengahan di pasaran hari ini. Bagi yang memerlukan storan lebih besar sokongan RAM Expension yang boleh menambah memori secara maya dalam pilihan saiz mencapai 12GB RAM. Secara lalai 4GB RAM diaktifkan secara maya dan boleh dimatikan jika lebih mementingkan ruang storan. Walaupun RAM ini boleh dikembangkan namun ruang storan adalah tetap kerana tiada slot untuk kad microSD.
Beberapa ujian penanda aras juga sempat dijalankan dengan peranti menunjukkan kutipan sebanyak 115,0560 mata dalam penanda aras Antutu. Sementara itu penanda aras Geekbench 6 pula mencatatkan 1,319 mata dalam ujian satu teras dan 4,143 mata dalam ujian pelbagai teras. Selain itu sebanyak 1724/1703/2329 untuk kutipan mata dalam ujian Geekbench AI.
Antutu 3D
- Oppo Reno13 Pro – 115,0560
- Samsung Galaxy S24 FE – 1,574,170
- OnePlus Nord 4 – 1,049,461
Geekbench 6
- Oppo Reno13 Pro – 1319/4143
- Samsung Galaxy S24 FE – 2030/6589
- OnePlus Nord 4 – 1384/3932
3D Mark Wildlife Extreme
- Oppo Reno13 Pro – 2880
- Samsung Galaxy S24 FE – 2475
- OnePlus Nord 4 – 2713
Geekbench AI
- Oppo Reno13 Pro – 1724/ 1703/2329
- Samsung Galaxy S24 FE – 2594/2603/4131
- OnePlus Nord 4 – N/A
Prestasi Reno13 Pro 5G bukanlah yang paling berkuasa tetapi mampu melaksanakan sebahagian besar kerja harian yang diperlukan. Peranti mampu berfungsi dengan baik dalam sebahagian besar situasi sepanjang ulasan dibuat. Skrin 120Hz juga benar-benar memberikan pengalaman penggunaan yang lancar tanpa sebarang isu sela masa ataupun kegagalan pemasangan aplikasi yang berlaku.
Proses bertukar diantara aplikasi juga boleh dilakukan tanpa isu peranti gagal berfungsi secara tiba-tiba. Ia juga boleh menguruskan kebanyakan tugas dengan baik yang termasuk permainan intensif bergrafik tinggi tanpa sebarang isu sela masa. Setiap permainan turut menawarkan kualiti grafik yang terperinci dan lancar menjadikan pengalaman permainan terasa menyeronokkan. Malahan tiada isu pemanasan melampau dengan ia sekadar menjadi suam sahaja untuk sesi permainan yang panjang.
Reno13 Pro menjalankan ColorOS 15 berasaskan Android 15 dengan kemas kini sekurang-kurangnya empat tahun diberikan. Melihat secara menyeluruh ColorOS 15 menerima perubahan ketara dari segala aspek. Paling ketara dalam penggayaan semula akses pintas pada pusat kawalan yang kini mempunyai ikon lebih besar menjadikan ia mudah dilihat berbanding sebelum ini. ColorOS 15 juga membawakan antaramuka yang dikemaskini dengan tumpuan besar pada animasi.
Ia dilengkapi dengan teknologi Aurora dan Tidal Engine yang membolehkan peranti menjalankan animasi aplikasi secara selari seterusnya memastikan peralihan yang lancar apabila bertukar di antara aplikasi. Dalam masa sama mempunyai kesan gerakan lebih baik dengan animasi yang lancar. Ini bermakna peralihan animasi yang responsif dan lancar boleh dirasai tanpa isu lengah masa meskipun pengguna bertukar ganti daripada satu aplikasi ke yang lain dengan cepat.
Terdapat juga ruangan Smart Function yang menempatkan sejumlah ciri dan fungsi yang diyakini bantu menjadikan tugasan harian lebih mudah. Secara lalai empat fungsi disediakan adalah AI Summary yang memanfaatkan fungsi kecerdasan buatan (AI) untuk meringkaskan kandungan panjang untuk ringkasan yang lebih padat dan relevan. Kemudian AI Speak yang membolehkan peranti membacakan kandungan untuk pengguna mendengarnya tanpa perlu melihat skrin peranti. Sementara itu File Dock dan Recent Files pula memudahkan akses ke fail yang sering digunakan dengan cepat serta mudah terus daripada skrin utama. Proses mencari juga fail juga lebih mudah tanpa memerlukan carian manual melalui folder.
Aplikasi AI Studio disediakan dengan tambahan fungsi AI Motion. Ia boleh menambah gerakan yang realistik pada gambar pegun untuk memuatkannya kelihatan bergerak. Ia juga boleh menambah kesan tambahan seperti latar belakang yang bergerak untuk memberi kesan yang lebih hidup dan menarik. Ia bagaimanapun sistem yang berasaskan kredit di mana pengguna mempunyai akaun terlebih dahulu dan menambahnya dengan melakukan beberapa langkah ringkas dalam aplikasi. Pilihan tera air turut boleh diubah untuk sentuhan lebih peribadi, atau menjadikan imej pegun sebagai GIF untuk lebih kreatif.
Ciri Notes pada ColorOS 15 juga lebih serba boleh dengan pelbagai fungsi yang lebih praktikal. Ia menawarkan ciri AI Assistants for Notes yang boleh meringkaskan kandungan teks panjang dan menyediakan ringkasan yang mudah difahami. Di samping menstruktur semula kandungan mengikut susunan yang lebih logik serta mudah dibaca. Sementara itu AI Writer pula dilihat bantu menulis, menyunting, dan memperbaiki teks secara automatik. Di samping bantu menstruktur semula kandungan mengikut susunan yang lebih logik serta mudah dibaca. Klon Dynamic Island juga kini bukan sahaja boleh disesuaikan malahan kelihatan mirip seperti ditawarkan pada peranti Apple.
ColorOS 15 pada Reno13 Pro juga dilengkapi dengan Google Gemini untuk mencari maklumat yang berkaitan dengan mudah. Pengguna turut boleh berkongsi fail daripada Reno13 Pro ke peranti iPhone melalui fungsi Share with iPhone. Proses perkongsian bagaimanapun perlu dilakukan bersama aplikasi O+ Connect yang perlu dimuat-turun terlebih dahulu. Terdapat juga fungsi lebih kurang sama yang dinamakan sebagai Touch to Share akan datang melalui kemas kini baharu yang menyediakan perkongsian di antara peranti Android dan iOS lebih cepat melalui sentuhan sahaja.
Namun seperkara yang saya perasan tiada lagi sokongan untuk Oppo Share yang boleh dilihat pada ColorOS 15 namun digantikan dalam versi baharu Share With iPhone tadi. Ia berikutan apabila saya menaip Oppo Share dalam kotak carian pada ruangan tetapan menu menunjukkan ciri itu membawa masuk ke ruangan Share With iPhone. Saya juga faham aplikasi gendut memang menjadi isu dihadapi oleh pengguna termasuk pada Reno13 Pro. Saranan terbaik hanyalah dengan membuang aplikasi tidak diperlukan melalui tetapan peranti.
Sistem Kamera
Reno13 Pro dilengkapi dengan persediaan tri-kamera yang menampilkan sensor utama 50MP (OIS), sensor telefoto 50MP (OIS) dan ultra-lebar 8MP. Di hadapan pula terdapatnya kamera swafoto 50MP dengan auto fokus terbina. Seperti biasa pilihan tangkapan gambar pula boleh diambil pada nisbah 1:1, 4:3, 16:9 dan penuh.
Peranti turut boleh merakam video sehingga 4K/60fps dengan penstabilan terbina menggunakan kamera utama dan swafoto. Video 4K yang menyokong 30/60FPS turut boleh dibuat dengan pilihan keupayaan zum di antara 0.6X, 1X, 2X, 3X dan 6X. Turut diberi fokus ialah Underwater Photography Mode yang memudahkan pengguna untuk mengambil gambar di bawah air dengan hasil yang lebih baik.
Selain turut membawakan beberapa ciri menarik yang terdapat pada model Find X8 sebelum ini. Antaranya seperti AI Clarity Enhancer yang boleh menjadikan imej yang dipotong, atau imej resolusi rendah nampak tajam, macam diambil terus dengan kamera utama. AI Unblur yang mampu ubah gambar kabur menjadi lebih tajam. AI Reflection Remover pula yang boleh menghilangkan pantulan untuk kualiti imej lebih baik.
Diikuti dengan fungsi Smart Scene yang terdiri dengan tiga jenis suasana iaitu Stage, Silhouette dan Fireworks. Tiga penuras Flim Simulation baharu seperti CC Film, NC Film dan NH Film turut disediakan. Selain turut menyokong fungsi Sound Focus untuk penghasilan semua video berkualiti dengan hingar audio yang rendah. Reno13 Pro turut mempunyai mod malam khusus yang diaktifkan secara automatik namun boleh dimatikan sekiranya tidak mahu digunakan.
Bateri Dan Sistem Pengecasan
Reno13 Pro dilengkapi bateri berkapasiti 5,800mAh yang menawarkan ketahanan cukup baik dengan kegunaan sederhana. Saya mendapat purata 8 jam dan 14 minit dengan SOT selama 4 jam menerusi kegunaan seperti melayari laman web, menatal media sosial, bermain permua, membalas teks mesej, memainkan muzik di Spotify dan lain-lain. Selain itu mencapai lebih 14 jam dengan SOT sekitar 10 jam untuk kegunaan yang bersahaja. Peranti menyokong pengecasan pantas berwayar SuperVOOC 80W dan nirwayar AirVOOC 50W. Proses pengecasan semula boleh dibuat dalam masa yang singkat kurang daripada satu jam.
Pesaing
OPPO Reno13 Pro | OnePlus Nord 4 | Samsung Galaxy S24 FE |
6.83″ LTPO AMOLED FHD+ 120Hz, HDR10+ Corning Gorilla Glass 7i | 6.78″ LTPO AMOLED, FHD+, 120Hz | 6.7″ Dynamic AMOLED 2X, FHD+, 120Hz, HDR10+ |
Dimensity 8350 (4 nm) 1 x 3.35 GHz Cortex-A715 3 x 3.20 GHz Cortex-A715 4 x 2.20 GHz Cortex-A510 | Snapdragon 7+ Gen 3 (4nm) 1 X 2.8 GHz Cortex X4 4 X 2.6 GHz Cortex A720 3 X 1.9 GHz Cortex A520 | Exynos 2400e (4nm) 1 x 3.11 GHz Cortex-X4 2 x 2.9 GHz Cortex-A720 3 x 2.59 GHz Cortex-A720 4 x 1.95 GHz Cortex-A520 |
Mali G615-MC6 | Adreno 732 | Xclipse 940 |
12GB RAM LPDDR5X | 16GB LPDDR5X | 8GB LPDDR5X |
512GB UFS 4.0 | 512 UFS 4.0 | 256/512 GB UFS 4.0 |
Kamera Utama 50 MP, f/1.8, 24mm (lebar), OIS 50 MP, f/2.8, 85mm (telefoto) 8 MP, f/2.2, 15mm, (ultra lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Sudut Lebar) | Kamera Utama 50MP f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 12MP f/2.2 (Ultra Lebar) 8MP f/2.4 (Periskop Telefoto) |
Kamera Hadapan 50 MP, f/2.0 | Kamera Hadapan 16 MP f/2.4 | Kamera Hadapan 10MP f/2.4 |
IP68/69 | IP65 | IP68 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5800 mAh Berwayar 80W Nirwayar 50W | 5500 mAh Berwayar 100W | 4700 mAh Berwayar 25W Nirwayar 15W |
RM2999 (12/512GB) | RM 2599 (16/512GB) | RM3299 (8/256 GB) RM3899 (8/512 GB) |
Apa Di Dalam Kotak?
- 1 X Oppo Reno13 Pro 5G.
- 1 X Pengecas SuperVOOC.
- 1 X Kerangka pelindung.
- 1 X Kabel USB-C.
- 1 X Manual
- 1 X Kad jaminan.
- 1 X Pin SIM
Kesimpulan
Reno13 Pro adalah peranti yang serba boleh dan direka untuk memenuhi keperluan pengguna moden yang memerlukan prestasi yang cemerlang dengan pelbagai ciri canggih. Dibina dengan bahan berkualiti tinggi seperti aluminium dan kaca memberikan rupa yang elegan. Pelbagai ciri AI disediakan melalui ColorOS 15 memberi kemudahan kepada pengguna untuk menjalankan tugasan harian. Sistem kamera dengan pelbagai mod menarik juga menghasilkan sebahagian besar imej yang berkualiti dalam kelasnya.
Bonusnya lagi tumpuan pada Underwater Photograpy Mode yang memudahkan proses mengambil gambar dan video di bawah air. Malahan kemampuan Reno13 Pro bertahan daripada air dan debu dengan penilaian IP68/69 juga menjadi nilai tambahan yang besar di sini. Prestasi menyeluruh dirasakan mencukupi dan memuaskan untuk pelbagai keperluan pengguna. Namun seperti biasa lambakan aplikasi gendut masih menjadi isu yang utama yang dihadapi dengan aplikasi tidak diperlukan telah sedia diprapasang pada peranti. Selain turut memakan ruangan serta memperlahankan prestasi peranti.
PRO
- Skrin AMOLED 120Hz dengan mod ProXDR.
- Cip pemprosesan memuaskan dalam kelasnya.
- ColorOS 15 yang memanfaatkan AI.
- Sistem kamera dengan pelbagai mod fotografi.
- Pembesar suara stereo.
- Kalis air IP68/69
KONTRA
- Tiada bicu audio.
- Tiada ruang kad mikroSD.
- Lambakan aplikasi gendut dan iklan.