Seperti yang dijangka, Bixby dengan integrasi AI akan tiba bersama siri Samsung Galaxy S25. Ini kerana dalam pengumuman Galaxy Unpacked 2025, Bixby AI telah diacah. Integrasi AI ini akan menjadikan Bixby lebih pintar dan menjadi pesaing sebenar kepada Siri dengan Apple Intelligence yang dijangka tiba tahun ini juga.
Bixby baharu dikatakan akan dikuasakan dengan model bahasa raya Samsung tersendiri iaitu Gauss bersama-sama dengan Google Gemini. Dalam video pendek ini, Bixby AI bertanya soalan bilakah Samsung Galaxy Unpacked akan berlangsung.
Ia memperlihatkan animasi baharu yang interaktif bersama ikon Bixby yang sedia dikenali ramai. Tema warna biru cair turut akan dikekalkan. Pengguna mungkin boleh berinteraksi dengan Bixby seperti dengan Gemini Live.
Penggunaan sebenar dan ciri lengkap masih menjadi misteri. Samsung turut dikatakan akan memberikan akses Gemini Advanced kepada pembeli Galaxy S25, jadi mungkin Bixby baharu akan bergantung kepadanya. Kemudian pemalam untuk aplikasi Samsung dalam Gemini turut sedang dibangunkan. Sama-sama kita nantikan dan lihat bagaimanakah posisi Bixby dan Gemini dalam Galaxy S25.