vivo X200 Mini adalah sebuah peranti mercu kompak yang sangat menarik. Ia dijana cip Dimensity 9400, dilengkapi kamera Zeiss baharu, dan skrin yang cantik. Sayang sekali, ia terhad untuk pasaran China sahaja dan terbaru dua jenama China lain akan hadir dengan pesaing tersendiri.
Oppo dan OnePlus dikhabarkan akan hadir dengan Find X8 Mini dan OnePlus 13 Mini. Jika dilancarkan ke peringkat global, salah satu peranti mungkin akan menjadi versi global seperti Find N3 yang menjadi OnePlus Open. Skrin dikatakan adalah LTPO OLED 6.31-inci, menggunakan rekaan bezel nipis, tubuh pula adalah kaca dan besi.
OnePlus 13 Mini akan dijana dengan cip Snapdragon 8 Elite, kekal menggunakan kamera 50+50 Megapixel cuma sensor ketiga adalah 8 Megapixel. Perbezaan dengan Oppo Find X8 Mini adalah cip mungkin Dimensity 9400 dan sensor kamera yang berbeza.
Find X8 Mini dikatakan akan dilancarkan bersama-sama dengan Find X8 Ultra sebagai peranti mercu Oppo 2025, sementara OnePlus mungkin akan melahirkan semula siri T dengan OnePlus 13T. Sama-sama kita nantikan.