Sejak tahun lepas, OnePlus tidak lagi menawarkan pengecas di dalam kotak untuk peranti mereka. Ini boleh dilihat melalui penjualan OnePlus 12, OnePlus 12R dan OnePlus Nord 4. Menurut wakil OnePlus Malaysia, perkara ini dilakukan kerana arahan oleh kerajaan Eropah untuk menjual peranti dengan amalan menjaga alam sekitar.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2025/01/OnePlus-13R-Rasmi-03.webp)
Bukan pengecas sahaja tidak ditawarkan, tetapi kerangka pelindung silikon atau plastik juga tidak lagi disertakan dalam setiap pembelian. Perkara ini diteruskan untuk OnePlus 13 yang baru dilancarkan malam tadi dengan sokongan pengecasan pantas 100W SuperVOOC dan pengecasan nirwayar 50W AirVOOC.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2025/01/Ulasan-OnePlus-13-Amanz_07.webp)
Untuk siri OnePlus 13, hanya OnePlus 13R sahaja akan hadir dengan pengecas di dalam kotak untuk setiap pembelian. Pengecas yang disediakan adalah 80W SuperVOOC. Untuk OnePlus 13, walaupun tiada pengecas disediakan di dalam kotak – jualan awal RM4,399 dengan hadiah bernilai RM547 turut menyertakan pengecas 100W SuperVOOC.
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2025/01/Ulasan-OnePlus-13-Amanz_05.webp)
Pada masa yang sama, OnePlus turut akan menjual pengecas SuperVOOC mereka yang tersendiri. Ia berbeza dengan pengecas Oppo kerana versi OnePlus menggunakan logo SuperVOOC berwarna merah. Ini mengembalikan vibe Warp Charge dan Dash Charge beberapa tahun lalu. Berikut adalah senarai produk yang dijual;
- OnePlus SUPERVOOC 100W Dual Ports – 1x USB-A + 1x USB-C, $49.99 (~RM225)
- OnePlus SUPERVOOC 80W Dual Ports GAN – 1x USB-A + 1x USB-C (~RM225)
- OnePlus AIRVOOC 50W Magnetic Charger – $79.99, versi Oppo RM299
![](https://amanz.my/wp-content/uploads/2025/01/Penegcas-SuperVOOC-Bahar-OnePlus-2025.webp)
OnePlus 13R sudah pun melepasi SIRIM sejak bulan Oktober tahun 2024. Dengan OnePlus 13 sudah pun dijual pada harga RM200 lebih rendah berbanding OnePlus 12, harga OnePlus 13R mungkin boleh jadi bawah RM3K berbanding 12R tahun lepas? Sama-sama kita nantikan.