Minggu ini wakil Apple dan Kementerian Industri Indonesia melakukan pertemuan empat mata bagi menyelesaikan isu membenarkan siri iPhone 16 dijual di negara tersebut. Semalam Apple bersetuju membuka kilang menghasilkan Apple Tag bernilai $1 bilion di Pulau Batam yang akan beroperasi tahun depan. Sungguhpun begitu, kerajaan Indonesia masih enggan membenarkan siri iPhone 16 dijual.
Ini adalah kerana pengeluaran AirTag tidak memenuhi keperluan 40% komponen telefon pintar perlu dihasilkan di dalam negara mengikut undang-undang Indonesia. Semalam kami laporkan menteri industri Indonesia Agus Gumiwang Kartasasmita sudahpun mengatakan pelaburan $1 bilion ia masih tidak mencukupi untuk Indonesia.
Perbincangan antara Apple dan Indonesia akan diteruskan bagi mencapai kata sepakat. Apple tidak mempunyai kilang pengeluaran di Indonesia. Sebelum ini keperluan komponen tempatan bagi menjual iPhone dipenuhi menerusi pelaburan akademi pembangunan aplikasi pertama Asia di Indonesia tujuh tahun lalu.
Sebagai negara dengan populasi keempat terbesar di dunia, Indonesia boleh meletakkan syarat kepada syarikat yang ingin memasuki pasaran mereka. Dalam hal ini, Indonesia mungkin ingin melihat pelaburan besar oleh Apple seperti di Vietnam.