Di Korea Selatan, Samsung ada menawarkan pelan langganan untuk mendapatkan barangan elektrik di rumah yang pintar. Ia adalah seakan LG Rent Up atau nama baharu LG Subscribe. Terbaru, Samsung ingin memperluaskan penawaran ini kepada peranti Galaxy pula.
Pelan ini dinamakan sebagai AI Subscription Club, tetapi bukan untuk melanjutkan penggunaan Galaxy AI yang dijangka tamat tempoh pada hujung tahun ini. Sebaliknya, ia adalah pelan langganan untuk pengguna mendapatkan peranti Galaxy dengan membayar secara bulanan dalam bentuk langganan.
Nama pelan Samsung ini agak mengelirukan dan diharapkan, butiran lanjut penggunaan Galaxy AI selepas tahun 2025 akan diumumkan dalam masa terdekat untuk pengguna bersedia. Apa-apa pun, AI Subscription Club dikatakan akan dimulakan pada bulan Februari tidak lama lagi dan mungkin boleh digunakan untuk mendapatkan siri Galaxy S25.
Di Malaysia, kaedah mendapatkan peranti Samsung Galaxy dengan bayaran bulanan adalah sama ada dengan perkhidmatan bayar nanti pakai lekas (BNPL), ansuran kad kredit atau pinjaman wang. Adakah anda berminat melanggan peranti Galaxy? Google Pixel Pass untuk melanggan Pixel telah pun ditamatkan, sementara Apple turut telah membatalkan perancangan untuk langganan iPhone.