Apple Watch Series 10 adalah antara jam tangan pintar baharu Apple menerima ciri mengesan apnea tidur. Ciri ini adalah untuk membantu pengguna mempunyai kesedaran akan masalah ketika tidur. Walaupun Apple Watch Series 10 telah dilancarkan sejak tahun lepas dan dijual di Malaysia sebulan selepasnya, ciri mengesan apnea tidur ini tidak boleh digunakan.
Ini kerana, Apple mahukan ciri ini diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Baru-baru ini, Pihak Berkuasa Peranti Perubatan di bawah KKM telah meluluskan ciri mengesan apnea untuk Apple Watch. Ciri ini akan diaktifkan pada jam-jam Apple Watch Series 9, Apple Watch Series 10 dan Apple Watch Ultra 2.
Cuma, buat masa ini masih tidak pasti versi watchOS 11 mana yang akan diedarkan untuk mengaktifkan ciri ini. Ciri mengesan apnea tidur adalah satu ciri perisian perubatan, yang mengesan masalah pernafasan pengguna ketika tidur. Ia menggunakan metrik Breathing Disturbances atau BD. Ia turut boleh mengesan masalah tersedak atau tercekik, kerap terjaga, letih sepanjang masa, mengantuk pada waktu siang, sakit kepala pagi atau juga mengesan keadaan mood yang tidak stabil.
Data yang elok dipantau adalah untuk bacaan 30 hari pertama. KKM turut menjelaskan ciri ini adalah untuk pengguna yang tidak pernah diubati atau tidak menerima rawatan apnea tidur. Selain mereka turut mengingatkan, notifikasi apnea tidur yang diberikan oleh Apple Watch bukan bermakna pengguna menghidapi penyakit tersebut.