Malaysia Hanya Diberikan Kuota 50,000 GPU Pusat Data Oleh Amerika Syarikat
Effi Saharudin
Semalam Presiden Joe Biden mengumumkan halangan eksport baharu ke atas cip AI dengan teknologi daripada Amerika Syarikat untuk kegunaan pusat data. Malaysia, Singapura, Israel dan UAE adalah negara yang dimasukkan ke dalam kategori Tahap 2 yang dikenakan had kuasa perkomputeran.
Pagi ini White House menjelaskan negara-negara Tahap 2 hanya diberikan kuota pembelian 50,000 GPU terkini. Ini adalah jumlah kuota yang kecil kerana xAI sahaja memiliki lebih 100,000 GPU NVIDIA pada superkomputer Colossus mereka dengan perancangan menaik taraf ke 1 juta GPU kelak.

Negara Tahap 2 juga perlu memohon lesen sebelum pembelian dibenarkan. Kuota GPU untuk negara Tahap 2 boleh dinaikkan ke 100,000 GPU terkini sekiranya kerjasama antara kerajaan negara dengan kerajaan Amerika dilakukan. Negara Tahap 2 hanya perlu menyelaraskan kawalan eksport, penggunaan tenaga bersih dan keselamatan teknologi mereka dengan Amerika.
White House walau bagaimanapun mengatakan pembelian sehingga 1700 GPU canggih sahaja tidak memerlukan lesen dan tidak dimasukkan ke dalam perkiraan kuota negara Tahap 2. Ini kerana pembelian dalam kualiti kecil biasanya adalah untuk kegunaan institusi pendidikan, perubatan dan organisasi yang melakukan kajian.
Malaysia pada ketika ini tidak perlu risau impiannya menjadi pusat data serantau akan terjejas kerana Microsoft, Google dan Amazon dibenarkan membina pusat data AI di negara Tahap 2 tanpa had kuota GPU sama sahaja seperti negara Tahap 1.
Tetapi syarikat yang berpangkalan di Amerika hanya dibenarkan meletakkan 50% kuasa perkomputeran mereka di luar negara. Mereka juga tidak boleh meletakkan lebih daripada 25% kuasa perkomputeran di luar negara Tahap 1 dan maksimum 7% kuasa perkomputeran di satu negara Tahap 2.