LG Memperkenalkan Panel OLED Dengan Kecerahan 4000 Nit Menggunakan Teknologi Skrin iPad Pro
Fahim Zahar
Apple adalah yang pertama menggunakan panel skrin Tandem OLED pada produk yang dijual untuk umum, iaitu pada iPad Pro M4. Panel skrin ini dikeluarkan oleh LG dan ia menawarkan kecerahan yang berkali ganda dengan penggunaan kuasa lebih rendah. Terbaru, teknologi Tandem OLED telah digunakan pada televisyen baharu LG.

LG mendakwa yang teknologi Tandem OLED untuk televisyen ini adalah yang pertama di dunia mencapai kecerahan paling cerah mencapai 4000 nits. Teknologi ini dibangunkan untuk era AI generatif. Tandem OLED LG baharu ini atau Primary RGB Tandem menggunakan tindanan LED RGB tersendiri untuk menghasilkan cahaya.

Struktur tindanan OLED ini menjaminkan kecerahan maksima kerana setiap bahagian LED menyala dengan sendiri. Walau bagaimanapun, teknologi ini masih memerlukan kemasan berkilat yang memantul cahaya. Berbanding teknologi QD-OLED yang sangat cerah tetapi menggunakan kemasan kusam. LG turut menjamin, mereka telah menggunakan kemasan berkilat dengan teknologi pantulan ultra-rendah.

Buat masa ini, teknologi ini masih dalam peringkat ujian dan belum sedia dijual secara meluas. Jika dijual pun, harganya akan menjadi sangat mahal kerana adalah teknologi tersendiri yang belum luas penggunaannya. Sama-sama kita nantikan perkembangan teknologi Tandem OLED.
[sumber] FlatPanelsHD [/sumber]