Idea iPhone yang sempurna pernah dibentangkan oleh Jony Ive, ia ada;ah sebuah peranti dengan satu kepingan kaca di hadapan yang imersif tanpa bezel, tanpa takuk, tanpa lubang dan tiada gangguan. Walaupun Ive telah meninggalkan Apple, visi untuk iPhone seperti ini masih dalam pembangunan.

Apple nampaknya telah menemui jalan untuk mengintegrasikan teknologi Face ID di bawah skrin, tanpa mengganggu isyarat sensor infra merah. Bagaimana? Apple menemui kaedah untuk menggunakan Face ID di bawah skrin dengan memastikan sub-piksel panel skrin berdekatan dengan sensor dimatikan untuk cahaya sensor menembusi skrin.

Apple yakin ia tidak akan mengganggu pengalaman penggunaan skrin kerana ia tidak akan jelas kelihatan dengan mata manusia apabila sub-piksel ini dimatikan. Kemudian untuk memastikan paparan kandungan masih cantik, sub-piksel lain berdekatan sensor akan menyala dengan warna dari sub-piksel yang dimatikan untuk sementara waktu.

Wayar individu pada setiap LED yang bertanggungjawab untuk sub-piksel turut akan dimatikan untuk sekali lagi memastikan isyarat infra merah terbaik dapat dilalui. Belum pasti lagi bila Face ID bawah skrin akan digunakan pada iPhone kerana ia mula dikhabarkan untuk iPhone 14, kemudian iPhone 16 dan iPhone 17 pula katanya masih ada takuk kecil. Sama-sama kita nantikan iPhone dengan skrin imersif nirbingkai sebenar.