Dalam acara awal tahun BMW Malaysia pada hari ini, mereka telah berkongsi lebih lanjut mengenai prestasi syarikat mereka, dan turut berkongsi mengenai prestasi mereka dalam jualan kenderaan elektrik di Malaysia. Untuk tahun 2024, lebih dari 2700 kenderaan elektrik telah terjual menerusi penawaran produk mereka iaitu jenama BMW, jenama Mini dan juga motosikal menerusi jenama BMW Motorrad.

Menerusi produk kereta elektrik, BMW iX2 telah terjual melebihi 460 unit, manakala BMW i5 pula telah terjual melebihi 400 unit. BMW yang turut menawarkan MINI juga telah berjaya menjual Countryman SE ALL4 lebih daari 320 unit. Menariknya lagi, sebanyak 44% dari jualan MINI adalah kereta elektrik, membuktikan permintaan kereta elektrik yang meningkat dalam jenama MINI.


Untuk jenama BMW Motorrad menerusi siri Urban Mobility, sebanyak 370 telah terjual dan dari jumlah ini, sebanyak 41% adalah dari jualan motosikal elektrik mereka iaitu BMW CE 04 dan CE 02 pula. Angka ini merupakan satu perkara yang memberangsangkan, membuktikan sememangnya terdapat permintaan untuk motosikal elektrik premium di Malaysia. Ini menjadikan keseluruhan kenderaan elektrik yang terjual sehingga kini menghampiri 33,000 unit.

BMW Malaysia turut berkongsi yang mereka kini mempunyai lebih dari 2020 stesen pengecasan seluruh Malaysia bagi memastikan pengguna kenderaan elektrik mereka senantiasa mendapat sokongan menyeluruh dan ini juga dijayakan dengan kerjasama rakan pengecasan yang lain seperti Gentari, ChargEV, Yinson, JomCharge dan pelbagai lagi. Dengan prestasi sebegini, tidak mustahil kita akan lihat lebih banyak kenderaan elektrik premium BMW akan berada di jalan raya pada tahun ini.
