Carian
Samsung Mengacah Peranti Skrin Tri-Lipat dan Cermin Mata Pintar
January 23, 2025 Effi Saharudin

Di acara Unpacked pagi ini, Samsung sekali lagi mengacah peranti baharu yang akan dilancarkan dalam masa terdekat. Ketika pembentangan untuk set kepala Project Moohan, dapat dilihat dua ikon untuk peranti skrin tri-lipat dan juga cermin mata pintar pada susur masa. Tiada maklumat mengenai dua peranti ini dikongsi tetapi ini ialah pertanda paling awal pembangunannya mungkin sedang dilakukan di Samsung.

Prototaip untuk peranti skrin tri-lipat sudah diperlihatkan sejak beberapa tahun lalu dengan ura-ura pembangunannya telah kami laporkan penghujung tahun lalu. Di CES skrin tri-lipat dan boleh-gulung juga dipamerkan oleh Samsung Display.

Cermin mata pintar ialah produk kategori baharu yang belum pernah diacah sebelum ini. Tetapi dengan Meta mendominasi pasaran cermin mata pintar dan Apple juga dipercayai sudah memulakan pembangunan, Samsung tidak boleh membiarkan pesaing meninggalkan mereka di belakang.

Komen