Carian
Ulasan JBL Tour Pro 3 – Aura Aneh Dengan TWS Berskrin
January 28, 2025 Fahim Zahar

Dua tahun lalu, telah kami laporkan Apple dianugerahkan paten pod pengecas AirPods dengan skrin terbina. Namun JBL lebih awal menawarkan TWS dengan ciri ini menerusi siri Tour Pro mereka. Terbaru, kami telah menguji JBL Tour Pro 3 dengan pemandu audio baharu. Persoalannya, adakah skrin ini gimik atau berguna?


SPESIFIKASI DAN REKAAN

JBL Tour Pro 3
JenisFon dalam telinga
Putik telinga EarGels
Pemacu Audio10.2 mm Dynamic Driver
5.1 mm x 2.8 mm Balanced Armature
Mikrofon6x mikrofon
JBL Spatial 360
Hi-Res JBL Pro Sound
Real-Time True Adaptive Noise Cancelling
SensorBluetooth 5.3
Auto jeda
BateriSehingga 11 jam berterusan
33 jam dengan pengecas
10 minit cas, 1 jam guna
SambunganBluetooth
Google Fast Pair
PengecasanUSB-C
Qi
Sokongan aplikasiAndroid, iOS
KawalanButang fizikal
Skrin sesentuh
Kemampuan kalis airIP55
Harga JualanRM1,499

JBL Tour Pro 3, TWS mercu dari JBL, membawakan satu kelainan berbanding TWS mercu lain di pasaran Malaysia. Pada pod pengecas Smart Charging Case mereka terdapat skrin sesentuh yang boleh dikawal, agar pengguna tidak menggunakan telefon pintar. Bukan itu sahaja, pod pengecas ini turut boleh menjadi penerima untuk sambungan di dalam kapal terbang.

Lebih menarik, JBL turut berjaya memastikan rekaan produk audio mereka tidak begitu besar dan boleh dikatakan menggunakan saiz yang biasa. Pelbagai ciri menarik pada TWS mercu seperti LDAC, ANC, EQ, semakan putik telinga, dan banyak lagi turut boleh digunakan. JBL turut menyertakan ciri sambungan moden Auracast yang masih tidak ditawarkan oleh kebanyakan pengeluar produk audio.

KUALITI AUDIO

Bass

Dalam banyak TWS yang pernah tiba ke makmal Amanz, tidak banyak yang benar-benar memfokuskan bass memberikan pengalaman pendengaran yang mengasyikkan. Antara kegemaran kami adalah OnePlus Buds Pro 2, Nothing Ear, dan Jabra Elite 10. Untuk JBL Tour Pro 3, bass yang dibawakan cukup dalam, gelap dan hangat. Tumpuan diberikan kepada sub-bass yabg boleh menghasilkan gegaran ketika mendengar muzik. Untuk mid-bass pula ia sangat terkawal dan jelas. Impak dentuman diberikan sangat dihargai dan jika anda pernah menikmati bass pada soundbar JBL, anda akan dapat pengalaman lebih kurang sama pada TWS ini.

Mids

Vokal pada TWS ini membawakan suara penyanyi wanita yang lebih intim dan jelas. Ia lebih sedap dan menenangkan, namun ia tidak mempunyai kejelasan yang memuaskan membuatkan TWS RM1,499 rasa tidak adil untuk pengguna. Vokal untuk penyanyi lelaki tidak akan terjejas kerana kemampuan bass, tetapi untuk keseluruhan jika didengar dengan teliti vokal pada TWS sebenarnya kurang berisi.

Highs

Disebabkan itu, JBL melakukan apa yang kebanyakan TWS tidak lakukan – menala bahagian nada tinggi menjadi enak. Enaknya unik, tidak tajam dan tidak membingitkan. Bahagian nada tinggi dalam kebanyakan muzik turut tidak terganggu membuatkan selesa untuk didengar dalam jangka masa panjang tanpa rasa bosan dan memenatkan. Bagi pendengar yang gemar treble yang lebih santai, ini mungkin menjadi pilihan penalaan yang menyenangkan.

Pementasan Audio

Jangan anggap, apabila TWS menawarkan ciri audio spatial ia akan memberi pementasan yang luas dan sedap. Ia sebenarnya hanya satu simulasi yang akan mengurangkan sedikit kualiti audio keseluruhan. Namun begitu, dengan pementasan audio lalai pada peranti ini terasa sedikit sempit – ciri audio spatial pada JBL Tour Pro 3 ini amat dihargai. Ia juga tidak rasa aneh berbanding TWS lain. Saya berani katakan, pengalaman audio spatial pada produk audio ini sudah menghampiri apa yang Apple tawarkan pada AirPods mereka.

CIRI DAN FUNGSI UNIK

Selain menggunakan penalaan tersendiri JBL Pro Sound, menawarkan ciri audio spatial tersendiri atau menyokong Auracast – salah satu ciri unik pada JBL Tour Pro 3 ini adalah pod pengecas dengan skrin terbina. 99% ciri yang ada pada aplikasi JBL boleh dilakukan dan dikawal terus pada skrin ini.

Anda akan tertanya, berguna ke? Agak berguna, kerana pertama saya tidak lagi perlu keluarkan telefon pintar dengan skrin gergasi hanya untuk kawalan. Sebaliknya hanya tatal dan sentuh pada skrin kecil. Ini akan menjimatkan bateri telefon selain turut dapat mengurangkan obsesi terhadap skrin peranti. Cuma penggunaannya bergantung kepada situasi.

Jika anda tidak hiraukan skrin, tangkai pada setiap putik telinga JBL Tour Pro 3 ini masih menyokong pad sesentuh. Jadi kawalan gestur jari masih disokong. Cuma, selepas membiasakan diri dengan skrin kawalan pada tangkai agak menjengkelkan kerana setiap kali ditekan saya akan menjolok putik telinga masuk ke dalam sehingga rasa sakit.

BATERI

Jangka hayat bateri yang dijanjikan adalah 7 jam untuk penggunaan bersama ANC dan 7 jam lah yang saya dapat gunakan. Untuk TWS mercu ketahanan 7-9 jam sudah menjadi kebiasaan, jadi JBL Tour Pro 3 boleh tahan selama ini dengan skrin pada hemat saya sudah cukup hebat.

Tanpa skrin, ia mungkin boleh tahan lebih lama tetapi sayang sekali tiada pilihan untuk matikan skrin. Penggunaan singkat turut dimudahkan dengan sokongan pengecasan pantas yang boleh bertahan untuk cukup satu senarai main pendek. Walaupun saiz kecil, JBL masih boleh menyertakan sokongan pengecasan nirwayar pada TWS ini yang menjadikan nilainya semakin berbaloi.

APA DALAM KOTAK

  • 1x JBL Tour Pro 3
  • 1x Set ganti getah putik telinga
  • 1x Set putik memory foam
  • 1x Kabel bicu audio 3.5mm ke USB-C
  • 1x Kabel USB-C ke USB-C
  • 1x Set manual

KESIMPULAN

Sukar untuk saya menafikan yang JBL Tour Pro 3 ini adalah antara TWS paling berkuasa pernah saya uji pada penghujung tahun 2024 sehingga awal 2025. Audio yang dihasilkan benar-benar adalah audio produk mercu dan setiap ciri dan fungsi semuanya boleh ditanda dalam senarai TWS sempurna saya.

Cuma dengan harga RM1,499, harganya tinggi berbanding TWS mercu lain di pasaran. Skrin dan Auracast adalah dua keunikan pada TWS ini namun ini mungkin tidak akan dipandang orang ramai selagi tiada jenama lebih popular menyertakannya. Pada tanda harga ini anda boleh dapatkan dua TWS mercu seperti Samsung Galaxy Buds3 Pro, Nothing Ear dan banyak lagi.

Buat masa ini, jika anda mahukan audio terbaik dan ciri menarik – JBL Tour Pro 3 adalah untuk anda dan jika dibeli anda pasti tidak akan menyesal. Jika anda ingin berjimat tetapi inginkan produk audio mercu dan pada masa yang sama is mesra pelbagai peranti – saya akan katakan Nothing Ear adalah pilihan terbaik.


PRO DAN KELEBIHAN

  • Rekaan unik dengan skrin yang sangat berguna.
  • Kualiti audio yang menakjubkan setaraf TWS mercu premium lain.
  • Aplikasi yang mudah digunakan.
  • Penuh dengan “jajan” berguna.

KONTRA DAN KEKURANGAN

  • Kerana skrin, harga menjadi mahal.
  • Ciri Auracast masih lagi gimik jika tiada ekosistem lengkap.

* Diuji dan ditulis oleh Li Jin Soh, audiophile di Amanz dengan terjemahan serta teks tambahan berdasarkan penggunaan Fahim Zahar.

Komen