Carian
Wanita Dari Amerika Syarikat Menjadi Manusia Paling Lama Hidup Dengan Ginjal Khinzir
January 27, 2025 Effi Saharudin

Pemindahan organ haiwan ke dalam tubuh manusia hanya sedekad dahulu dianggap sebagai prosedur yang mustahil. Tetapi penyelidik dari NYU Langone Health mengumumkan Towana Looney (53) kini memegang rekod sebagai manusia paling lama hidup selepas menerima pemindahan ginjal khinzir ke dalam tubuh beliau.

Looney yang berasal dari Alabama, Amerika Syarikat menerima ginjal khinzir yang telah diubahsuai pada 25 November 2024. Pada 25 Januari lalu, beliau telahpun hidup dengan ginjal khinzir melebihi 61 hari yang merupakan rekod sebelum ini.

Beliau tidak layak menjadi penerima ginjal manusia kerana mempunyai tahap antibodi tubuh yang tinggi menyebabkan kebarangkalian penolakan organ yang tinggi. Nasib yang menyedihkan kerana Looney telah menderma satu ginjal kepada ibu beliau pada tahun 1999. Sejak 2016 beliau memerlukan mesin hemodialisis untuk meneruskan hidup selepas ginjal mengalami kerosakan disebabkan oleh tekanan darah tinggi.

Selain pemindahan ginjal khinzir, NYU Langone Health juga telah berjaya melakukan pemindahan jantung babi ke dalam tubuh manusia selama 72 jam yang mengalami kematian otak pada tahun 2022 dan pemindahan mata sepenuhnya pada tahun 2023.

Penyelidik mengatakan Looney tidak menunjukkan sebarang reaksi negatif dan organ berfungsi dengan normal pasca pembedahan. Ini membuka peluang untuk prosedur xenotransplan menggunakan organ khinzir sebagai ganti organ manusia sebagai penyelesaian kepada masalah kekurangan organ di dunia.

Komen