Harga Google Pixel 9a Tertiris
Fahim Zahar
Google Pixel 9a dijangka akan dilancarkan pada sekitar bulan Mei 2025, ketika acara Google I/O. Peranti ini akan hadir dengan rekaan baharu, di mana panel belakang tiada lagi bar kamera – sebaliknya kini adalah rata sepenuhnya. Ia juga dijangka akan dijana cip Tensor G4 yang sama pada Pixel 9, serta dengan kamera 48MP. Terbaru, harga jualannya telah tertiris.

Menurut Android Headlines yang kerap meniriskan maklumat tepat mengenai peranti Google Pixel, harga jualan Pixel 9a akan sama dengan Pixel 8a. Ini bermakna model 128GB akan dijual pada harga $499 (~RM2,192), tetapi sayang sekali model 256GB dijual pada harga lebih mahal iaitu $599 (~RM2,632). Pixel 9a adalah antara peranti Pixel yang akan dijual di Malaysia.
Memandangkan Pixel di Malaysia diedarkan oleh pengedar yang sama dengan pasaran Singapura, kita boleh melihat trend harga jualan di sana. Pixel 8a dijual pada harga SGD799 (~RM2,596) untuk 128GB, dan SGD899 (~RM2,921) untuk 256GB. Beza harga jualan Pixel 9 di sana dan di Malaysia adalah sekitar 3%, jadi Pixel 9a mungkin akan dijual pada sekitar RM2,699 untuk model 128GB.

Penarik perhatian pada Pixel 9 ketika dijual di Malaysia adalah naik taraf storan dari 128GB ke 256GB dan menerima langganan Gemini Advance setahun. Harga jualan di Malaysia telah pun menurun sehingga lebih RM1,000. Apakah berkas menarik yang anda mahukan dari Google jika ingin membeli Pixel 9a?
[sumber] Android Headlines [/sumber]