Pengguna produk Mac di Malaysia pasti sudah lama tahu akan kewujudan pelan AppleCare+, iaitu jaminan tambahan yang memastikan apabila MacBook mengalami masalah papan kekunci, isu skrin rosak, dan lain-lain boleh dibaiki pada harga mampu milik. Sejak Januari tahun lepas, penawaran AppleCare dikembangkan ke iPhone, AirPods, Apple TV, Apple Watch dan lain-lain.

Selama ini AppleCare menawarkan kaedah membeli jaminan tambahan secara prabayar, sama ada untuk 2 tahun atau 3 tahun. Ia ditawarkan di kedai fizikal dan juga di atas talian. Menurut laporan Mark Gurman, perkara ini mungkin akan berubah bermula minggu ini – di mana AppleCare+ akan ditawarkan dalam bentuk pelan langganan. Ia mungkin menjadi pelan langganan bulanan atau tahunan.

Pada masa yang sama, pek prabayar AppleCare+ 2 tahun ke 3 tahun akan masih dijual tetapi terhad di atas talian sahaja. Buat masa ini, masih tiada khabar mengenai harga. AppleCare+ di Malaysia dijual pada harga bermula RM69 untuk dua tahun. Ia adalah yang paling murah untuk HomePod Mini, dan boleh mencapai sehingga RM2,299 untuk 3 tahun bagi produk Mac dan monitor terpilih.
Tidak pasti jika perubahan penawaran AppleCare+ sebagai pelan langganan adalah satu perkara yang baik atau satu lagi cara Apple memerangkap pengguna dalam ekosistem mereka agar sukar untuk melepaskan diri. Apa pun, membeli jaminan tambahan secara berasingan adalah haram menurut Mufti Selangor.