Ciri View Once atau Lihat Sekali pada WhatsApp adalah antara ciri paling berguna. Ia diperkenalkan pada tahun 2021 dan kini telah berkembang untuk lebih banyak mesej lain termasuk suara. Satu masalah ciri ini adalah apabila anda menggunakan peranti terpaut, sama seperti ciri lokasi langsung – mesej lihat sekali hanya boleh diakses pada peranti utama. Perkara ini akan berubah tidak lama lagi.

Dalam laporan WABetaInfo, Meta dilihat sedang menguji WhatsApp untuk Android baharu dengan membenarkan pengguna turut mengakses mesej lihat sekali pada peranti terpaut. Ciri ini dikatakan akan memanfaatkan mereka yang kerap menggunakan banyak peranti seharian. Dengan mesej lihat sekali boleh dilihat pada mana-mana peranti, pengguna tidak perlu risau jika peranti utama tidak bersama mereka.
Ciri ini kini boleh diuji pada aplikasi WhatsApp untuk Android versi 2.25.3.7. Tidak pasti bila versi stabil akan diedarkan kepada semua pengguna. Jika anda ingin menggunakan APK verso beta, pastikan anda tahu akan risikonya.