Australia mengikuti langkah Taiwan dengan mengharamkan penggunaan model kecerdasan buatan (AI) DeepSeek R1 pada kesemua komputer dan telefon pintar yang dimiliki oleh kerajaan. Arahan diberikan oleh Setiausaha Jabatan Dalam Negeri, Stephanie Foster selepas melihat risiko keselamatan ke atas kerajaan Australia.

Pengharaman adalah dalam bentuk penggunaan DeepSeek R1 menerusi laman web dan juga aplikasi yang dipasang pada peranti milik kerajaan. Bermula hari ini semula entiti bukan korporat di dalam komanwel Australia perlu memastikan produk, aplikasi dan perkhidmatan web tidak menggunakan model DeepSeek R1.
Australia menjadi negara Five Eyes pertama mengharamkan penggunaan model yang dibangunkan oleh syarikat China ini. Pada waktu yang sama Microsoft baru-baru ini mengatakan ingin menyokong DeepSeek R1 pada semua Copilt+ PC dengan ia dijalankan terus daripada mesin tanpa sambungan internet.