Carian
4 Model Google Gemini 2.0 Kini Boleh Diakses Pengguna – Termasuk Dengan Flash Thinking
February 6, 2025 Fahim Zahar

Bulan Disember tahun lepas, Google telah melancarkan model bahasa raya Gemini 2.0 yang lebih berkuasa berbanding Gemini 1.5. Gemini 2.0 turut boleh diakses di web dan aplikasi dengan model 2.0 Flash sekarang sudah memasuki fasa stabil. Pada masa yang sama, model 2.0 Flash Thinking turut ditambah dengan kemampuan berfikir sendiri untuk menyelesaikan masalah. Malam tadi, 4 model Gemini 2.0 terbuka kepada sejumlah pengguna.

Buat masa ini hanya Gemini 2.0 Flash yang telah memasuki fasa stabil, Gemini 2.0 Experimental Advanced sudah dibuang dan digantikan dengan Gemini 2.0 Pro Experimental yang tertiris sebelum ini dan juga Gemini 2.0 Flash Thinking serta Gemini 2.0 Flash Thinking with Apps.

Gemini 2.0 Flash menjanjikan prestasi yang berkali ganda lebih pantas berbanding Gemini 1.5 Pro. Ia turut boleh menyelesaikan masalah matematik yang lebih kompleks, selain turut membantu dalam tugasan pengekodan. Gemini 2.0 Pro pula memfokuskan kepada tugasan pengekodan kompleks dengan prom yang lebih rumit.

Untuk Gemini 2.0 Flash Thinking, ia menawarkan penggunaan seakan DeepSeek di mana Gemini akan mengeluarkan teks berkongsi mengenai cara ia berfikir dan mencari maklumat sebelum menjana maklum balas. Ia akan melakukan kaedah berfikir dan kajian yang rumit dalam masa singkat kerana mempunyai kemampuan penaakulan yang lebih hebat.

Pada masa yang sama, versi with Apps pula adalah untuk model ini digunakan bersama aplikasi seperti YouTube atau Google Maps. Ini akan membantu pengguna mendapatkan maklumat dengan lebih pantas kerana model ini adalah ejen AI yang membantu pengguna menggunakan aplikasi.

Komen