Dua tahun lepas, Eric Migicovsky iaitu pengasas Pebble bersungguh berkempen ingin membangunkan telefon pintar mercu kompak tersendiri. Migicovsky menyatakan, beliau ingin peranti seakan iPhone 13 Mini tetapi menjalankan Android dengan cip berkuasa. Kini, projek ini mungkin tergendala.

Dengan sistem operasi Pebble menjadi sumber terbuka, Migicovsky ingin mengembalikan produk peranti boleh pakai seakan jam yang beliau lahirkan. Ia menyokong Android dan iOS, menggunakan skrin e-ink, menawarkan ketahanan bateri yang tahan lama, dan mempunyai banyak fungsi dan ciri yang berguna selain turut memfokuskan kepada komuniti. Projek Pebble ini akan menjadi fokus utama dan projek Small Android Phone Project akan menjadi sampingan.

Migicovsky turut berharap akan ada individu lain boleh mengambil alih projek Small Android Phone beliau. Projek ini sudah mempunyai jenama iaitu Beep. Ia menggunakan rekaan seakan sebuah iPhone, bonggol kamera adalah jenis palang seakan Pixel, ada suis notifikasi, skrin rata, dan tubuh kaca. Peranti ini sepatutnya dilancarkan pada tahun 2024, namun ia mungkin akan cuba dilancarkan pada sekitar 2026 pula.
Buat masa sekarang, tiada sebarang kemas kini mengenai pembangunan projek ini. Sama-sama kita nantikan.