Pusat data kecerdasan buatan (AI) mempunyai reputasi buruk menggunakan kuasa elektrik dan bekalan air yang tinggi untuk menjalankan operasi. Di Neom, Arab Saudi sebuah pusat data AI lestari akan beroperasi menjelang 2028 dengan ia juga sifar-bersih kerana menggunakan sumber kuasa yang dijana menggunakan angin dan solar.

Ia akan dibina di kawasan perindustrian Oxagon yang dibina di atas permukaan laut. Pusat data diperlukan kerana Oxagon akan menjadi pusat perindustrian yang menggunakan teknologi robot, kenderaan swapandu, dan peranti berhubung bagi meningkatkan produktiviti kilang yang beroperasi di dalamnya.
Projek yang dibina dengan kerjasama firma DataVolt ini akan menelan belanja $5 bilion (~RM 22.3 bilion) dengan pusat data memerlukan 1.5-gigawatt kuasa elektrik. Selain bandar perindustrian terapung, Neom juga akan menjadi lokasi bangunan sepanjang 170 kilometer, kolam renang tergantung terpanjang, dan stadium bola sepak tertinggi dunia sebagai tarikan pelancong ke Aran Saudi.