Beberapa minit yang lepas, aplikasi chatbot kecerdasan buatan tersendiri oleh xAI iaitu Grok telah dibuka untuk pra-daftar oleh pengguna peranti Android. Penawaran ini adalah lanjutan daripada penawaran untuk pengguna iOS sebelum ini. Grok untuk Android juga adalah perkhidmatan AI yang percuma digunakan.

Pada peranti Android, aplikasi masih berada di dalam fasa beta pada peringkat pra-daftar, dan ditawarkan secara terhad untuk beberapa pengguna sahaja. Ini bermakna, prestasi yang tidak konsisten serta pepijat dijangka akan berlaku. Selesai memuat turun aplikasi, pengguna Android boleh terus menggunakan model terbaru mereka iaitu Grok 3 beta dan juga model lepas Grok 2. Seperti Gemini dan ChatGPT, pengguna percuma turut boleh memuat naik fail, gambar dan terus membuka kamera sebelum memasukkan prom atau pertanyaan pada Grok.
Grok dilatih dengan data-data perkongsian oleh pengguna X sendiri. Ia boleh menjana teks, menjana gambar, melakukan analisa dan juga melakukan carian. Untuk menggunakan Grok, anda perlu log masuk dengan akaun Google atau akaun X.