Carian
Snapdragon Southeast Asia Summit Memperkenalkan Penawaran Snapdragon X Untuk Pasaran APAC
February 26, 2025 Nazrin

Pada awal tahun ini, di acara CES 2025, Qualcomm telah memperlihatkan cip pemprosesan komputer riba terbaru mereka, iaitu Qualcomm Snapdragon X sebagai penawaran untuk siri komputer riba kelas mampu-milik, berbanding dengan siri cip Snapdragon X Elite dan Snapdragon X Plus.

Cip Snapdragon X hadir dengan rekaan lapan-teras dengan kadar kelajuan maksima pada 3Ghz. Cip ini hadir dengan binaan 4nm, serta menawarkan prestasi AI pada 45 TOPS. Cip ini juga menjanjikan masa penggunaan tenaga bateri yang efisien dan lama, membolehkan pengguna menggunakan peranti bagi tempoh masa lebih panjang. Qualcomm mengatakan cip Snapdragon X ini lebih baik berbanding cip Intel Core 5 120U.

Di acara Snapdragon Southeast Asia Summit yang berlangsung pada hari ini, Qualcomm telah memperkenalkan penawaran siri cip Qualcomm Snapdragon X untuk pihak media di Asia Tenggara. Di Malaysia, model komputer riba seperti ASUS Zenbook A14 dan ASUS Vivobook 14/16 dengan cip pemprosesan ini sudahpun mula ditawarkan, dan ia dijangka bahawa lebih banyak lagi komputer riba yang dikuasakan cip Snapdragon X akan diperlihatkan selepas ini.

Dalam pada itu, Microsoft juga telah mengesahkan bahawa siri cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon X ini melepasi piawaian Copilot+ PC, dan sama seperti siri cip Snapdragon X Elite dan Snapdragon X dan boleh menggunakan ciri-ciri AI pada sistem operasi Microsoft Windows 11 seperti Copilot, Recall, Image Creator, Live Captions dan sebagainya secara natif.

Komen