Samsung Galaxy Z Flip7 dijangka tiba tahun ini seiring dengan Galaxy Z Fold7. Butiran mengenainya juga mula muncul sejak kebelakangan ini dengan penambahbaikan menarik.

Paling terkini Galaxy Z Flip7 berkemungkinan akan dilengkapi bateri lebih besar berbanding generasi terdahulu. Sumber menyatakan, ia boleh mencapai 4300mAh yang menjadikan 300mAh lebih besar berbanding 4,000mAh yang digunakan pada Galaxy Z Flip6. Bersama-samanya cip Snapdragon 8 Elite mungkin digunakan, yang sepatutnya boleh memastikan hayat bateri lebih panjang lalu mengatasi semua model Flip yang sebelum ini. Ia juga dijangka boleh menjadi perbezaan utama dengan Samsung Galaxy Z Flip7 FE yang dijangka tiba pada tahun ini.

Namun persoalan yang sering timbul ialah bagaimana pula dengan sistem pengecasan? Adakah lebih pantas? Memandangkan Samsung masih mengekalkan kuasa output 25W pada peranti boleh lipatnya sejak beberapa tahun ini. Masih belum jelas juga mengenai pelancaran tetapi kita boleh menjangkakan ia akan muncul sama seperti sebelum ini pada acara Unpacked sekitar Julai.