CelcomDigi dan Payments Network Malaysia (PayNet) Sdn Bhd telah bekerjasama untuk meningkatkan keselamatan digital dalam transaksi kewangan. Inisiatif baharu ini menggunakan pengesahan berasaskan SIM untuk transaksi DuitNow bagi memerangi jenayah penipuan dalam talian.

CelcomDigi menggunakan CelcomDigi Open Gateway yang memanfaatkan integrasi Open Application Programming Interface (API) untuk membolehkan PayNet mengesahkan transaksi DuitNow melalui pengesahan berasaskan SIM. Kaedah keselamatan ini dapat memastikan nombor telefon mudah alih yang dipautkan dengan akaun DuitNow adalah aktif dan milik pengguna yang berdaftar. Ia juga boleh menyediakan alternatif yang lebih selamat berbanding pengesahan berasaskan OTP tradisional seterusnya mengurangkan risiko penipuan.
Kerjasama ini juga melibatkan institusi kewangan dan Pusat Tindak Balas Penipuan Kebangsaan (NSRC) melalui Portal Penipuan Kebangsaan (NFP). Dengan berkongsi maklumat penipuan, CelcomDigi boleh mengambil tindakan pantas untuk mengenal pasti, menyekat, dan menyenarai hitam nombor telefon yang dikaitkan dengan penipuan.

Turut difahamkan bahawa CelcomDigi Open Gateway adalah sebahagian daripada inisiatif GSMA Open Gateway. Dengan piawaian API ini, syarikat telekomunikasi boleh membenarkan pembangun lain mencipta perkhidmatan bersama dengan lancar lantas meningkatkan keselamatan digital seperti pengesanan penipuan dan lain-lain.