Kalau Nothing Phone (3a) sudah ngam-ngam mengancam, bagaimana pula dengan Nothing Phone (3a) Pro? Sebenarnya kedua-dua peranti ini mempunyai banyak persamaan dengan perbezaan terletak pada rekaan dan kamera sahaja. Walaupun namanya Pro, peranti ini sebenarnya lebih menghampiri status peranti Plus sahaja yang tidak benar-benar membawakan ciri “Pro”. Walaupun begitu, ia masih memberikan saya pengalaman yang memuaskan lagi-lagi untuk Hari Raya nanti. Cuma, adakah anda rasa ini peranti Raya anda?

SPESIFIKASI DAN REKAAN
Skrin | 6.77″ Flexible AMOLED FHD+, 120Hz HDR10+ tanpa DRM, 3000 nits, Panda Glass |
CPU | Snapdragon 7s Gen 3 (4nm) 1×2.5 GHz Cortex-A720 3×2.4 GHz Cortex-A720 4×1.8 GHz Cortex-A520 |
GPU | Qualcomm Adreno 810 |
Memori | 12GB RAM LPDDR4X + 8GB RAM Maya |
Storan | 256GB UFS 2.2 |
Kamera Belakang | 50MP (Lebar), f/1.88, OIS + EIS 50MP (Telefoto), f/2.0, zum 3x/6x/60x, OIS 8MP (Ultra Lebar), f/2.2 TrueLens Engine 3.0 |
Kamera Hadapan | 50 MP, f/2.2 |
Audio | Speaker Stereo |
Biometri | Cap Jari Dalam Skrin (Optikal) |
Sistem Operasi | Nothing OS 3.1 Android 15 Kemas Kini 3+6 Tahun |
Sambungan | WiFi 6 Bluetooth 5.4 |
Perlindungan | IP64 |
Bateri | 5,000mAh 50W (Berwayar) |
Harga | Hitam, Kelabu RM1,999 (12/256 GB) |
Nothing Phone (3a) Pro dikatakan menggunakan rekaan evolusi daripada Phone (2a). Jika dilihat dengan teliti, di keliling kamera sudah pun mempunyai ukiran berbentuk bulat. Peranti ini hanya menambah bonggol untuk memuatkan sensor telefoto jenis periskop yang memang tebal. Walaupun ia besar, setiap sensor kamera tidak mempunyai lensa yang terkeluar kerana keseluruhan bonggol ini adalah rata serta kelihatan ia seakan terapung.

Rekaan bonggol kamera peranti ini memang menjadi perbualan orang ramai. Ia turut menerima ulasan yang bercampur. Malah, wakil Nothing sendiri mengaku mereka sukar untuk menerima yang ia kelihatan seakan bonggol kamera peranti mercu OnePlus. Walaupun saya suka dan hormati usaha Nothing untuk membawakan rekaan yang berani ini, saya harus berikan kemenangan rekaan terbaik kepada Phone (3a) kerana tidak perlu risau habuk kecil terperangkap di celah bonggol kamera gergasi Phone (3a) Pro.

Lain-lain pada rekaan peranti masih sama seperti model asas. Cuma butang kuasa dan butang laras suara serta Essential Key menggunakan warna perak dan krom. Peranti ini walaupun berada di dalam kelas pertengahan premium, di dalam tangan ia rasa seakan sebuah peranti mercu premium. Perubahan bahan binaan plastik kepada kaca dan rangka aluminium lebih tahan lasak adalah keputusan terbaik.
SKRIN
Saya amat mengharapkan model Pro mempunyai skrin yang Pro. Mungkin HDR dengan DRM diaktifkan pada aplikasi penstriman, resolusi lebih tinggi atau sokongan LTPO memandang peranti ini adalah RM300 lebih mahal berbanding model asas. Sayang sekali harapan ini tidak menjadi realiti.
Phone (3a) Pro masih menggunakan skrin OLED fleksibel bersaiz 6.77-inci FHD+ dengan kecerahan mencapai 3000 nit, kadar segar semula adaptif 120Hz, kadar pensampelan 1000Hz dalam mod gaming, dan memberikan pengalaman penggunaan yang cukup baik untuk peranti di dalam kelasnya.

Kandungan HDR terhad pada permua dan YouTube sahaja setakat ini. Saya faham kerana Nothing tidak mahu memuatkan aplikasi sistem Netflix yang mengaktifkan DRM kerana mahukan pengalaman Nothing OS bebas iklan serta aplikasi gendut. Sekurang-kurangnya kerana pengguna telah membayar hampir RM2,000 – berikanlah pilihan untuk mengaktifkan DRM ini.
PRESTASI DAN PENANDA ARAS
Tidak dinafikan cip Snapdragon 7s Gen 3 adalah cip yang baik. Ia mempunyai kemampuan prestasi seakan cip Snapdragon 8 Gen 1 tetapi dengan kebolehan memproses tugasan AI yang lebih efisien. Disebabkan cip ini adalah sama dengan Nothing Phone (3a), prestasi dan pengalaman penggunaan harian adalah 100% sama sahaja. Saya turut dapat menguji kedua-dua peranti ini serentak dan tidak dapat membezakan apa-apa perubahan prestasi. Cuma, skor penanda aras untuk model Pro pada unit saya lebih rendah berbanding model asas.

AnTuTu 3D
- Nothing Phone (3a) Pro – 788,110
- Poco X7 Pro – 1,590,533
- Oppo Reno13 Pro – 1,150,560
- OnePlus Nord 4 – 1,049,461
- vivo V40 Pro – 1,524,100
Geekbench 6
- Nothing Phone (3a) Pro – 1,146/3,123
- Poco X7 Pro – 1575/6121
- Oppo Reno13 Pro – 1319/4143
- OnePlus Nord 4 – 1384/3932
- vivo V40 Pro – 1798/5177
3DMark Wildlife Extreme
- Nothing Phone (3a) Pro – 1,037
- Poco X7 Pro – 3839
- Oppo Reno13 Pro – 2880
- OnePlus Nord 4 – 2713
- vivo V40 Pro – 3824
Walaupun Nothing OS 3.1 berjaya memberikan pengalaman penggunaan dengan prestasi yang pantas dan lancar secara konsisten, penggunaan memori serta storan LPDDR4X dan UFS 2.2 yang perlahan jelas dapat dirasai. Banyak sahaja peranti pesaing dalam kelas sama, malah ada yang lebih murah menggunakan storan UFS 3.0 ke atas. Ini membuatkan proses pemasangan aplikasi, membuka aplikasi atau memindahkan fail menjadi sangat perlahan.

Untuk prestasi permua, ia seperti apa yang saya jangkakan. Tiada masalah pemanasan, tetapi ada sedikit suam cuma tidak mengganggu. Kemudian, selepas sesi bermain sekitar lebih satu jam – lengah masa rawak dapat dirasai. Apa yang mengejutkan, pengalaman penggunaan yang saya sampaikan sekarang adalah 100% sama dengan pengalaman saya bersama Google Pixel 9 Pro XL yang dijual pada harga hampir 3x lebih mahal.
PENGALAMAN PENGGUNAAN – NOTHING OS 3.1
Sebagai pengguna Pixel 9 Pro XL dan individu yang menggemari Android stok, saya rasakan Nothing OS 3.1 ini adalah alternatif Android stok terbaik. Ia tidak “kosong” seperti ramai pengguna katakan pada peranti Pixel, kerana mempunyai beberapa ciri kustomasi dan ciri unik seperti widget interaktif dan ciri AI berguna yang benar-benar bermanfaat.

Nothing tidak fokus kepada ciri kecerdasan buatan generatif pada aplikasi galeri seperti dengan pemadam ajaib, ciri lukisan AI, menjana teks, rumusan notifikasi dan lain-lain. Sebaliknya hanya memberikan ciri teras AI. Misalnya aplikasi Nothing Gallery yang memahami konteks untuk memudahkan carian. Kemudian adalah ciri AI yang mencadangkan aplikasi serta menyusun aplikasi mengikut kategori tersendiri.

Nothing OS 3.1 turut membawakan penggunaan yang lebih seronok dan selepas selesai melakukan pelbagai kustomasi membuatkan diri saya rasa tenang. Penggunaan widget yang interaktif sangatlah menarik dan berbeza dengan penawaran widget oleh pengeluar peranti pesaing. Nothing turut membawakan sokongan Circle to Search iaitu ciri carian AI yang paling berguna pernah diperkenalkan untuk pengguna peranti Android.

Sudah semestinya saya tidak akan lupa kepada ciri AI yang menjadi perbualan orang ramai pada peranti ini. Adalah Essential Space satu ciri AI yang gimik? Pada sesetengah orang mungkin ya, kerana mereka tidak pernah menggunakannya atau tidak menggunakan peranti Android untuk tugasan produktiviti yang efisien. Essential Space ini boleh diseru dengan tekan dua kali pada Essential Key. Di dalamnya adalah koleksi tangkapan layar yang diambil dengan butang fizikal baharu ini, berbeza dengan koleksi tangkapan layar di dalam aplikasi galeri.

Essential Space adalah memori kedua pengguna atau hab untuk menguruskan perkara penting. Dengan tekan Essential Key sekali, ia akan ambil tangkapan layar kandungan skrin dan membenarkan pengguna menambah nota. Sementara tekan dua dan tahan membenarkan pengguna melakukan rakaman suara. Setiap hasil tangkapan layar ini, ia akan dirumuskan oleh AI yang kemudiannya menjana rumusan, atau senarai, peringatan dan banyak lagi untuk memudahkan pengguna.
KAMERA – PERISKOP UBAH SEGALANYA?
Konfigurasi kamera Phone (3a) Pro adalah sama sahaja dengan Phone (3a), tetapi berbeza pada kemampuan zum. Model Pro ini menggunakan sensor 50MP telefoto periskop dengan kebolehan zum optikal 3x, zum nirhilang 6x dan zum ultra 60x. Adakah ini konfigurasi kamera ini lebih baik berbanding model asas? Sayang sekali tidak.

Jika anda sukar untuk membezakan butiran terperinci antara 2x zum optikal dan 3x zum optikal, model asas sudah memadai. Ini adalah peranti kelas pertengahan, ia tidak akan mempunyai kemampuan zum peranti mercu yang menggunakan sensor jauh lebih maju. Disebabkan Nothing menggunakan sains warna mereka tersendiri dan juga algoritma TrueLens Engine 3.0 – selepas pasca-proses hasil gambar zum akan kelihatan lebih kurang sama sahaja.




Di atas adalah dua gambar zum 3x dan dua gambar zum 6x. Adakah anda boleh bezakan kualitinya? Untuk penggunaan saya, zum 3x adalah mod yang paling kerap saya gunakan kerana dapat memuatkan subjek dengan baik di dalam bingkai gambar. Kadangkala, jika mempunyai sumber cahaya mencukupi dan tangan saya tenang – penggunaan zum 6x boleh dapatkan hasil yang tidak dijangka.






Kemampuan mod malam, potret dan mod auto adalah sangat baik dan memuaskan. Nothing benar-benar cuba yang terbaik untuk mendapatkan hasil seakan peranti mercu pada peranti kelas pertengahan. Cuma pengorbanan kamera zum ini membuatkan kemampuan mod sudut ultra lebar peranti ini lebih lemah berbanding siri Nothing Phone (2a). Sensor 8MP peranti ini sukar untuk saya terima.



Nothing turut menambah sokongan perkongsian preset kamera dan memuat naik fail .cube untuk profil LUT sebagai penuras. Dua ciri ini menjadikan Nothing Phone (3a) seakan peranti kelas pertengahan yang bekerjasama dengan pengeluar kamera. Tidak salah untuk pengguna peranti murah untuk “flexing” seakan mereka menggunakan peranti lebih mahal – cuma jangan lebih-lebih.
TELEFONI, WIFI, GPS
Saya menggunakan peranti ini sepanjang satu minggu berada di Barcelona untuk MWC 2025. Kualiti panggilan telefon, prestasi WiFi dan kestabilan sambungan data mudah alih adalah sangat baik. Saya tidak mengalami sebarang masalah langsung. Ini termasuk dengan penggunaan GPS untuk mencari selok-belok di sekitar bandar Sepanyol yang menarik ini kerana di sana saya banyak berjalan kaki dan menggunakan menaiki kereta api – syukur pendatang asing ini tidak sesat.

BATERI DAN PENGECASAN
Apa yang saya katakan di dalam ulasan Nothing Phone (3a) mengenai bateri, sama juga pada Nothing Phone (3a) Pro. Penggunaan sepanjang hari memang tidak mendatangkan sebarang masalah. Malah selepas satu hari penggunaan, bateri peranti masih berbaki sekitar 2-3 jam penggunaan lagi. Ini adalah sekitar 8 jam SOT dan untuk penggunaan berat seperti banyak menggunakan ciri AI, bermain percuma dan menggunakan kamera ia akan bertahan sekitar 6-7 jam SOT yang juga tiada masalah untuk penggunaan seharian.

Pengecasan pantas 50W adalah memadai untuk peranti seperti ini. Ia mengambil masa sekitar 60 minit untuk dicas dari 0% ke 100%. Mana-mana pengecas GaN 50W ke atas boleh mengecas peranti ini dengan cemerlang. Cuma dengan trend pengecasan nirwayar bermagnetik sudah semakin hanta saya amat harapkan peranti ini akan ada sokongan Qi2. Pergghh, kalaulah ada susunan magnet dan panel kaca ini boleh nampak – pasti unik – mana tahu gegelung ini boleh dilapik dengan Glyph?
APA DALAM KOTAK?
- 1x Phone (3a)
- 1x Pelindung skrin (sedia terpasang)
- 1x Kabel USB-C ke USB-C bukan lutsinar
- 1x Pin SIM lutsinar
- 1x Buku panduan dan keselamatan

PESAING
Nothing Phone (3a) Pro | Vivo V50 | Samsung Galaxy A56 |
6.77″ Flexible AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+ 3000 nits, Panda Glass | 6.77″ AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+ 4500 nits, Diamond Shield Glass | 6.7″ Super AMOLED FHD+, 120Hz, HDR10+, 1900 nits, Gorilla Glass Victus+ |
Snapdragon 7s Gen 3 (4nm) 1×2.5 GHz Cortex-A720 3×2.4 GHz Cortex-A720 4×1.8 GHz Cortex-A720 | Snapdragon 7 Gen 3 (4nm) 1x 2.63 GHz Cortex-A715 3x 2.4 GHz Cortex-A715 4x 1.8 GHz Cortex-A510 | Exynos 1580 (4nm) 1x 2.9 GHz Cortex-A720 3x 2.6 GHz Cortex-A720 4x 1.9 GHz Cortex-A720 |
Adreno 810 | Adreno 720 | Xclipse 540 |
12GB RAM LPDDR4X + 8GB RAM Maya | 12GB RAM LPDDR4X + 12GB RAM Maya | 12GB RAM LPDDR4X + 8GB RAM Maya |
256GB UFS 2.2 | 256/512 GB UFS 2.2 | 128/256GB UFS 3.1 |
Kamera Utama 50MP (Lebar), f/1.88, OIS + EIS 50MP (Telefoto), f/2.0, zum 2x/4x/6x, OIS 8MP (Ultra Lebar), f/2.2 TrueLens Engine 3.0 | Kamera Utama 50MP (Lebar), f/1.88, OIS 50MP (Ultra Lebar), f/2.0 2MP (Makro), f/2.4 ZEISS Portrait Excellence, AI Aura Light Portrait 2.0 | Kamera Utama 50MP (Lebar), f/1.8, OIS 50MP (Ultra Lebar), f/2.4 12MP (Makro), f/2.2 |
Kamera Hadapan 32 MP, f/2.2 | Kamera Hadapan 50 MP, f/2.0 | Kamera Hadapan 12MP f/2.2 |
IP64 | IP68/IP69 | IP67 |
Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
5,000 mAh Berwayar 50W | 6,000 mAh Berwayar 90W | 5,000 mAh Berwayar 45W |
RM1699 (12/256 GB | RM 1899 (8/256 GB) RM 1999 (12/256 GB) RM 2399 (12/512 GB) | RM1999 (8/128 GB) RM2199 (12/256 GB) |
KESIMPULAN
Berdasarkan pengalaman saya sendiri, Phone (3a) Pro ini sebenarnya adalah peranti yang lebih baik berbanding Phone (3a). Namun begitu, perbezaan spesifikasi yang tidak begitu ketara dan kualiti zum yang tidak banyak berbeza – adalah lebih baik membeli Phone (3a) kerana harga jualannya RM300 lebih murah.

Namun, jika anda pentingkan kamera swafoto 50MP dengan kemampuan rakaman video 4K – model Pro adalah untuk anda. Jika tidak janganlah membazir, kecuali jika anda ada duit lebihan untuk menikmati rekaan bonggol kamera gergasi.
Menggunakan kedua-dua peranti serentak membuka mata saya yang model Pro sebenarnya hanya pada nama. Ia sebenarnya masih lagi model Plus yang menggantikan Nothing Phone (2a) Plus. Siri Phone (3a) adalah peranti kelas pertengahan yang menarik dan anda mungkin tidak akan kecewa untuk penggunaan jangka masa panjang, jika anda tidak pentingkan betapa pantas proses pemindahan fail berlaku. Untuk RM1,999 Nothing Phone (3a) Pro sebenarnya telah mengancam pesaing untuk menjadi lebih baik dalam menawarkan produk kepada pengguna. Anda bagaimana?
PRO
- Skrin yang baik dan memuaskan.
- Nothing OS 3.1 menawarkan pengalaman alternatif Android stok terbaik.
- Sokongan kamera periskop yang sangat dihargai.
- Rekaan yang lebih segar, berani dan mencabar.
- Menyokong perlindungan IP64 yang lebih tahan lasak.
- Butang fizikal AI yang sangat berguna.
- Bahan binaan lebih tahan lasak.
- Harga jualan yang agak kompetitif.
KONTRA
- Tiada sokongan HDR untuk Neflix, Prime dan platform penstriman utama.
- Bonggol kamera gergasi terapung yang memerangkap habuk.
- Tiada sokongan pengecasan nirwayar.
- Penggunaan memori UFS 2.2 yang perlahan.
- Kamera sudut ultra lebar yang mengecewakan.
- Tiada perubahan drastik pada Glyph.
