Sonos telah membatalkan pembangunan kotak penstriman TV pertama mereka menurut laporan The Verge. Sumber dalaman mengatakan pembangunan “Pinewood” dihentikan selepas melihat pasaran kotak TV yang kini dipenuhi terlalu banyak peranti pesaing dengan harga jualan yang lebih kompetitif. Pinewood dipercayai akan dipasarkan sebagai peranti premium yang menawarkan sokongan ekosistem Sonos dan bersaing secara langsung dengan Apple TV 4K dan harga jualannya pula antara $200-$400.

Ia dipercayai sudah dibangunkan sejak 2023 dan akan menggunakan sistem operasi Android. Sungguhpun begitu antaramuka yang digunakan adalah berbeza dengan Google TV bagi menawarkan pengalaman penggunaan yang lebih menarik. Rekaannya kelak adalah berkotak dengan tirus di bahagian hadapan. Ini adalah hampir sama dengan Google TV Streamer yang dilancarkan tahun lalu.
Antara ciri yang disokong ialah hab mencari kandungan secara setempat untuk pelbagai aplikasi penstriman yang dipasang. Ini adalah mirip ciri yang ditawarkan oleh aplikasi JustWatch. Akhir sekali ia juga menyokong ciri Sonos Voice membolehkan kawalan menggunakan suara sepenuhnya.
Tahun 2024 adalah tahun yang mencabar kepada Sonos kerana isu dengan aplikasi telefon pintar baharu menimbulkan kemarahan pengguna sedia ada disebabkan kehilangan pelbagai ciri. Reaksi negatif yang diterima menyebabkan CEO syarikat Patrick Spence meletakkan jawatan pada Januari lalu. Ini diikuti oleh pembuangan 200 kakitangan serta pembatalan projek speaker MagSafe untuk iPhone.