Now Bar dan Now Brief adalah antara ciri Galaxy AI yang ada dalam One UI 7.0 pada siri Galaxy S25. Ia adalah sistem notifikasi interaktif yang dijana AI dan mempunyai sifat seakan Dynamic Island pada iPhone 15 Pro ke atas. Selain notifikasi, ia turut membenarkan pengguna mengawal Google Maps, mengawal pemain media dan banyak lagi. Terbaru, tambahan integrasi notifikasi Google telah diaktifkan.

Pengguna Samsung Galaxy S25 kini boleh menambah skor sukan dari Google melalui tetapan dari dalam aplikasi Google. Ia adalah paparan notifikasi skor yang sama jika anda pernah mengaktifkannya. Pada peranti Pixel, ia akan dipaparkan dalam At a Glance widget. Sementara peranti Android lain akan menerima notifikasi atau boleh melihat ia dikemaskini secara langsung pada skrin utama peranti. Paparan skor pada Now Bar ini turut boleh dilihat pada kunci skrin dan dalam mod Always-On Display.
Kemas kini baharu ini diedarkan melalui Galaxy Store untuk aplikasi AOD. Pastikan anda mengemaskini ke versi 8.8.25.5 untuk menggunakan ciri baharu ini.