Carian
Xiaomi Smart Audio Glasses Dan Powerbank Lutsinar 212W HyperCharger Kini Di Malaysia – Berharga RM469
March 13, 2025 Fahim Zahar

Hari ini, Xiaomi mula mengumumkan kempen Ramadan Kareem mereka yang akan bermula pada 15 Mac 2025 sehingga 30 April 2025. Kempen ini akan menawarkan banyak hadiah menarik dan diskaun untuk produk terbaru mereka seperti siri Xiaomi 15 dan untuk siri Xiaomi 14T. Pada masa yang sama, sejumlah produk baharu turut diumumkan.

Satu produk yang menarik perhatian saya adalah kaca mata pintar audio Xiaomi yang kini mula dijual. Ia sebenarnya adalah produk yang sudah lama diperkenalkan di pasaran luar, namun dengan trend penggunaan kaca mata AI semakin menjadi-menjadi Xiaomi Smart Audio Glasses kini dijual di Malaysia. Ia hanyalah sepasang kaca mata dengan speaker stereo terbina untuk dijadikan sebagai alternatif kepada TWS. Ia menggunakan teknologi audio terbuka, menyokong bateri sehingga 10 jam dan boleh dicas dengan USB-C.

Seterusnya adalah powerbank gergasi dengan rekaan moden dan unik Xiaomi 212W HyperCharge Power Bank 24500mAh. Ya, ia menyokong kapasiti 24,500mAh dalam tubuh hitam dengan panel plastik memaparkan komponen penting seperti cip dan bateri. Rekaan ini menjadi trend seperti pada Shargeek 100 atau CUKTECH. Skrin kecil turut terbina untuk memaparkan status bateri, status pengecasan dan tetapan lain.

Ia turut menyokong sambungan 2x USB-C dan 1x USB-A yang boleh digunakan untuk mengecas banyak peranti serentak. Seperti pada nama produk, ia akan menyokong pengecasan pantas HyperCharge untuk peranti Xiaomi tetapi turut menyokong pelbagai piawaian pengecasan pantas lain untuk mengecas pelbagai peranti Android berbeza.

Xiaomi turut menjual powerbank lain yang lebih mampu milik dengan rekaan lebih minimal dan moden. Ia memounyai bateri berkapasiti 10,000mAh dengan kuasa 22.5W. Kemudian, kit ganti kaca mata audio tadi turut boleh didapatkan secara rasmi. Berikut adalah harga bagi setiap produk yang disebut;

  • Xiaomi 212W HyperCharge Power Bank 24500 – RM469 RM389
  • Xiaomi Power Bank 10000mAh 22.5W Lite – RM79 RM59
  • Xiaomi Smart Audio Glasses – RM469 RM389
  • Xiaomi Smart Audio Glasses Replacement Kit – RM169 RM149
Komen