Carian
OpenAI Menyarankan White House Mengharamkan Penggunaan AI Buatan China Seperti DeepSeek
March 14, 2025 Effi Saharudin

White House sedang mengambil input daripada pemain industri sebelum melancarkan Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan (AI Action Plan) yang akan menjadi asas kepada polisi berkaitan AI Amerika Syarikat. Beberapa syarikat besar seperti Google dan AI telahpun menyerahkan saranan mereka dengan dokumen juga telah diterbitkan untuk bacaan awam.

Dalam pelan OpenAI, antara yang disarankan ialah mengharamkan penggunaan perkakasan serta model AI yang dihasilkan oleh China daripada digunakan oleh negara Tahap 1. Negara Tahap 1 ialah negara-negara yang dikategorikan sebagai sekutu rapat mengikut kriteria yang diumumkan oleh pentadbiran Joe Biden bagi mengalang eksport cip awal tahun ini.

Alasan yang diberikan OpenAI ialah penggunaan perkakasan seperti cip Huawei Ascend dan model AI seperti DeepSeek akan mendatangkan risiko keselamatan data dalam kalangan negara Tahap 1. Selain privasi pengguna terjejas, timbul juga isu sebarang data yang diambil akan menyebabkan berlakunya pula pencurian harta intelek negara oleh China.

Sebarang hubungan dengan negara Tahap 3 seperti Rusia dan China juga tidak boleh dilakukan atas risiko data yang dicuri mendatangkan risiko digunakan bagi tujuan ketenteraan dan melanggar hak asasi manusia.

Pada waktu yang sama OpenAI juga menggesa terdapat garis panduan yang membolehkan negara Tahap 2 seperti Malaysia, Singapura dan Israel untuk menjadi negara Tahap 1. Ini boleh dilakukan dengan menyatakan proses yang telus, memberikan bantuan meningkat tahap sekuriti negara Tahap 2 dan meningkatkan kerjasama ekonomi antara Amerika dengan negara Tahap 2. Kesemua saranan OpenAI kepada Pelan Tindakan Kecerdasan Buatan ialah bagi memastikan Amerika terus menjadi peneraju teknologi AI dunia.

Amerika Syarikat sudahpun mengharamkan penggunaan DeepSeek oleh agensi kerajaan, penjawat awam dan anggota tentera. Mereka mengikut langkah Taiwan, Korea Selatan dan Australia yang lebih awal mengharamkannya. Korea Selatan mungkin yang paling ekstrem kerana menghalang muat turun DeepSeek di negara mereka kerana kegagalan syarikat memastikan data peribadi pengguna. Sungguhpun begitu terdapat cadangan oleh seorang ahli kongres Amerika yang ingin mengenakan penjara 20 tahun sekiranya warga negara menggunakan DeepSeek tetapi ia tidak mendapat sambutan.

Komen