Dua minggu lalu tiga suspek ditahan di Singapura kerana dipercayai menyeludup keluar pelayan dengan teknologi Amerika Syarikat ke China menerusi Malaysia. Dalam perbicaraan semalam, pihak pendakwaraya mendedahkan nilai pelayan yang diseludup mencecah $390 juta (~RM 1.7 bilion) dengan ketiga-tiga suspek mengaut keuntungan yang tinggi hasil aktiviti haram mereka.
Pelayan yang dipercayai mengandungi cip NVIDIA yang diharamkan jualannya ke China dipercayai telah dihantar ke DeepSeek yang kemudiannya digunakan untuk melatih model seperti R1 yang menggegarkan dunia kecerdasan buatan (AI). Walaupun kes melibatkan tiga individu ini sudah dibicarakan, pihak polis Singapura masih melakukan siasatan ke atas beberapa kes lain yang melibatkan penyeludupan perkakasan ke China.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul sudahpun mengeluarkan kenyataan kerajaan Malaysia turut telah memulakan siasatan sama untuk menentukan sama ada undang-undang Malaysia telah dilanggar dalam dakwaan penghantaran cip AI yang disekat ke China.
Sebagai negara Tahap 2, Malaysia dan Singapura sudahpun dikenakan sekatan akses sepenuhnya cip AI oleh Amerika Syarikat. Insiden penyeludupan ke negara Tahap 3 seperti China yang diharamkan akses sepenuhnya akan mendatangkan impak negatif kepada Malaysia dan Singapura yang mempunyai aspirasi menjadi pusat data rantau Asia Tenggara.