Carian
Pengguna iPhone 16e Melaporkan Masalah Sambungan Bluetooth Terputus-Putus
March 14, 2025 Fahim Zahar

Apple C1 adalah modem yang direka sepenuhnya oleh Apple. Ia dibangunkan berasaskan teknologi Apple Silicon dan menjanjikan penjimatan penggunaan kuasa serta bateri pada iPhone 16e berbanding penggunaan pada iPhone 15 dan iPhone 16. Terbaru, masalah pertama yang serius dan menjengkelkan mula dilaporkan berlaku.

Pengguna iPhone 16e iaitu satu-satunya peranti yang menggunakan model ini melaporkan masalah sambungan Bluetooth. Apabila aksesori audio ditambat pada iPhone 16e, audio yang disampaikan kerap terputus-putus. Audio seakan dijeda untuk seketika sebelum ia sambung bermain semula. Isu ini berlaku kepada kedua-dua jenis produk audio iaitu set fon kepala/telinga dan juga speaker.

Ini adalah satu perkara yang sangat menjengkelkan kerana Apple bangga yang modem C1 mereka adalah yang terbaik atau yang paling efisien. Namun apabila pengguna mengalami isu, pelbagai alasan akan diberi. Setakat ini, isu ditemui adalah berkaitan aplikasi yang menggunakan akses Bluetooth. Pengguna yang mengalami masalah ini telah pun memulangkan iPhone 16e mereka dan unit baharu yang diterima turut mengalami masalah yang sama.

Jalan penyelesaian terbaik sekarang adalah redha sahaja dengan masalah ini sehingga Apple mengeluarkan kemas kini atau memberitahu kaedah terbaik untuk membaikinya. iPhone 16e boleh dibeli di Malaysia pada harga bermula RM2,999.

Komen