Carian
Core 2 Duo Dan Core Time 2 Dilancarkan Sebagai Jam PebbleOS Generasi Baharu
March 19, 2025 Fahim Zahar

Bulan Januari lalu, Google berbesar hati menjadikan sumber kod sistem operasi jam tangan pintar skrin e-ink PebbleOS menjadi sumber terbuka. Ini secara tidak langsung membuatkan pencipta asal iaitu Eric Migicovsky bekerjasama dengan komuniti untuk memperkenalkan rePebble. Terbaru, Migicovsky telah pun melancarkan dua jam tangan pintar menjalankan PebbleOS.

Core Devices adalah syarikat baharu Migicovsky yang akan menguruskan jam-jam baharu PebbleOS. Dua jam telah diperkenalkan iaitu Core 2 Duo dan Core Time 2. Sama seperti zaman Pebble, kedua-dua jam baharu ini turut menawarkan ciri teras yang sama iaitu skrin e-ink sentiasa hidup, bateri tahan laman, rekaan ringkas dan cantik, butang fizikal, dan boleh digodam.

Core 2 Duo – Kelahiran Semua

Menurut Migicovsky, Core 2 Duo adalah kelahiran semula Pebble 2 atau “Do Over”. Ia menawarkan ciri dan spesifikasi lebih kurang sama dengan Pebble 2 tetapi menjalankan cip generasi baharu dan sistem operasi yang telah dikemaskini. Skrin adalah e-ink hitam dan putih bersaiz 1.26-inci, menyokong lebih 10,000 muka jam, menyokong perlindungan kalis percikan IPX8, mempunyai mikrofon tersedia, ada ciri menjejak tapak, menggunakan tali jam standard 22mm dan hadir dengan pilihan warna hitam atau putih dalam kerangka polikarbonat.

Core 2 Duo mempunyai ketahanan bateri sehingga 30 hari berbanding sebelum ini hanya 7 hari. Ia turut dijana dengan cip Nordic nRF52840 BLE yang menyokong sambungan Bluetooth kuasa rendah, terdapat speaker terbina, mempunyai motor getaran, butang yang lebih tahan lasak, serta sensir barometer dan kompas untuk penggunaan lebih membantu pengguna.

Jam ini dikatakan sama dengan yang asal sehingga video ulasan lama, artikel ulasan lama dan lain0lain berkaitan Pebble 2 masih boleh digunakan sebagai rujukan.

Core Time 2 – Bayangkan Pebble Time 2 Pro?

Ya, untuk jam ini ia hanyalah sepasang Pebble Time 2 tetapi versi yang Migicovsky impikan selama ini. Ia adalah iterasi sempurna, mungkin Pebble Time 2 Pro atau Plus? Core Time 2 adalah jam PebbleOS yang dibangunkan khusus untuk pengguna lebih serius.

Ia menggunakan skrin e-ink berwarna lebih besar iaitu 1.5-inci (64 warna), kekal menyokong PebbleOS yang sama dengan lebih 10,000 muka jam, tetapi jam dibina dengan tubuh aluminium. Bateri kekal sama iaitu 30 hari, menggunakan skrin dengan kaca yang rata, skrin adalah jenis sesentuh untuk sokongan widget, terdapat sensor imbas nadi, dan lain-lain kekal sama dengan Core 2 Duo.

Core Time 2 dan Core 2 Duo kedua-duanya menyokong ciri dan fungsi lebih kurang sama. Misalnya, PebbleOS yang boleh memberikan notifikasi, sokongan penggera, jam, kalendar, kawalan muzik dan ciri asas pemantauan kecergasan dan kesihatan. Semua muka jam dan aplikasi PebbleOS yang asal kekal disokong, tetapi saiz muka jam akan menjadi sedikit lebih kecil pada Core Time 2. Gedung aplikasi apps.rebble.io turut kekal aktif untuk semua pengguna.

Pasukan Core Devices memberi peringatan yang Core 2 Duo dan Core Time 2 adalah untuk peminat asal dan pengguna yang boleh menghargai produk yang berasaskan komuniti. Ia bukan pengganti kepada jam tangan sedia ada di pasaran. Core 2 Duo akan dijual pada harga $149 (~RM660) dan penghantaran bermula Julai tahun ini. Sementara Core Time 2 pula berharga $225 (~RM997) dengan penghantaran bermula Disember tahun ini.

Komen