Carian
Angkasawan Tersadai Di ISS Selama 278 Hari Akhirnya Selamat Kembali Ke Bumi
March 20, 2025 Effi Saharudin

Dua angkasawan NASA Barry Wilmore dan Sunita William sudah tersadai di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) sejak Jun tahun lalu telah selamat kembali ke bumi semalam. Ini menamatkan misi getir 278 hari yang tidak dirancang disebabkan oleh isu pada kapal angkasa Starliner yang dinaiki mereka. Wilmore dan William kembali ke bumi bersama Nick Hague dan Aleksandr Gorbunov di dalam kapsul Crew Dragon dengan ia mendarat di perairan Florida tengah hari semalam.

Kapsul Crew Dragon – Gambar oleh NASA

Mengikut perancangan asal kedua-dua angkasawan sepatutnya menghabiskan masa lapan hari sahaja di ISS dengan kapsul Starliner dijadualkan pulang pada 14 Jun tahun lalu. Kebocoran yang dikesan dan juga isu perisian menyebabkan NASA tidak berani mengambil risiko. Starliner telahpun kembali ke bumi pada 8 September lalu tanpa sebarang isu tetapi dua anak kapal tersadai lebih 9 bulan menanti NASA menghantar krew baharu menggunakan kapal angkasa Crew Dragon buatan SpaceX.

Sunita William dan Barry Wilmore

Kapal angkasa Boeing Starliner ialah salah satu lagi kenderaan yang digunakan oleh NASA untuk menghantar krew ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas Space Shuttle berhenti beroperasi hampir sedekad lalu. Selain Starliner, Amerika Syarikat juga menggunakan kapsul SpaceX Crew Dragon untuk membawa angkasawan dan bekalan ke ISS.

Program ini menghadapi pelbagai masalah sehingga menyebabkan Boeing kerugian sekitar $1.5 bilion. Oleh sebab itu Boeing dilaporkan ingin menjual perniagaan aeroangkasa mereka bagi sebagai langkah mengurangkan kos operasi syarikat yang juga terjejas disebabkan oleh isu siri pesawat penumpang 737 Max dan 777X.

Komen