Carian
EU Membenarkan Telefon Pintar Tanpa USB-C Dijual
March 20, 2025 Fahim Zahar

Beberapa hari lepas telah kami laporkan yang Apple pernah mempertimbangkan untuk melancarkan iPhone 17 Air tanpa sebarang port pengecasan. Ini adalah perancangan Apple sejak tahun 2018 namun ia masih tidak ditawarkan kerana risau ia melanggar arahan penjualan peranti elektronik yang perlu dilengkapi port pengecasan USB-C yang berkuat kuasa sejak 2024.

Hari ini wakil Suruhanjaya Eropah (EC) mengesahkan tiada halangan untuk menawarkan telefon pintar tanpa USB-C asalkan ia menyokong sistem pengecasan nirwayar yang telah diseragamkan sebelum ini. Apple telahpun memberikan akses menggunakan sistem pengecasan MagSafe mereka kepada semua pengeluar yang ingin menggunakannya. MagSafe ialah kesinambungan kepada piawaian Qi2 yang digunakan oleh industri sebagai sistem pengecasan nirwayar pilihan.

Kerana ia bukan sistem yang hanya digunakan oleh Apple, EC tidak mempunyai tentangan kepada peranti tanpa USB-C yang menyokong Qi2 dan MagSafe di masa depan. Ini sekaligus membuka pintu mungkin tahun hadapan era telefon pintar tanpa port pengecasan akan mula ditawarkan kepada umum dan Apple tidak lagi perlu risau inovasi mereka akan dikekang undang-undang EU.

Baca: Mengapa Telefon Pintar Tanpa Butang Dan Port Bukanlah Inovasi Yang Bernas

Komen